Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
GEORGE TOWN – Pembelian 104 unit Rumah Kos Rendah (RKR) di Taman Sungai Duri Permai, Sungai Duri, Seberang Perai Selatan (SPS) merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri untuk memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat Pulau Pinang dengan menyediakan lebih banyak RKR di bawah Skim Pemilikan Bersama (Shared Ownership Scheme – SOS) kepada golongan memerlukan.
Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian 104 Unit RKR Di Taman Sungai Duri Permai, Sungai Duri, Daerah SPS di sini baru-baru ini.
Katanya, SOS adalah inisiatif baru pertama dilaksanakan di negara ini bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah pertama sungguhpun masing-masing menghadapi kesukaran mendapat pinjaman bank dan dapat diatasi dengan bantuan pinjaman Kerajaan Negeri tanpa faedah berkenaan.
“Pelaksanaan inisiatif ini adalah selaras dengan Bajet 2014 yang telah dibentangkan Kerajaan Negeri.
“Pembelian ini merupakan usahasama di antara Kerajaan Negeri dengan pemaju projek iaitu Syarikat Asas Dunia Berhad di atas dasar tanggungjawab sosial korporat (Corporate Social Responsibility -CSR) syarikat kepada Kerajaan Negeri dan rakyat di Negeri Pulau Pinang.
“Kesemua rumah ini akan dijual kepada mereka yang berdaftar dengan Bahagian Perumahan serta memenuhi kriteria yang melayakkan mereka membeli rumah kos rendah ini,’’ jelasnya yang menyaksikan majlis berkenaan di sini.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diwakili Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri, Datuk Abu Jamal Nordin bersama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Asas Dunia Berhad, Datuk Jerry Chan Fook Sing.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Maktar Shapee, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa & Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.
Menurut Guan Eng, projek perumahan tersebut juga dikenali sebagai Rumah Bandaran Mampu Milik Dua (2) Tingkat.
“Ianya telah dibina Syarikat Asas Dunia Berhad dan telah menerima Borang F – Perakuan Siap dan Pematuhan pada 13 Ogos 2012.
“Jumlah keseluruhan rumah yang telah dibina adalah 224 unit. Sebanyak 104 unit rumah akan dibeli oleh Kerajaan Negeri, manakala baki diuruskan sendiri oleh pihak syarikat,’’ ujarnya.
Tambah beliau, projek perumahan terbabit dibina berdasarkan konsep ‘town house’ dua tingkat yang mana rumah di tingkat bawah adalah berkeluasan 716 kaki persegi manakala tingkat satu (705 kaki persegi).
“Setiap rumah mempunyai satu ruang tamu dan ruang makan, tiga bilik tidur dan satu bilik air/tandas.
“Bagi kategori RKR, Kerajaan Negeri mendapati bahawa rumah berkenaan berada di dalam keadaan baik. Di samping itu, ianya juga mempunyai suasana persekitaran selesa dan tenteram untuk didiami serta kini berhampiran dengan akses ke Jambatan Kedua Pulau Pinang yang menghubungkan Daerah SPS dan kawasan pulau,’’ jelasnya.
Kata beliau, SOS diperkenalkan atas dasar keperihatinan Kerajaan Negeri terhadap pembeli Rumah Kos Rendah yang gagal mendapat kelulusan pinjaman bank sebanyak 90 peratus atau 100 peratus di atas harga penjualan rumah.
“Antara alasan yang diberikan adalah tidak berupaya membuat bayaran balik dan mempunyai rekod pinjaman yang tidak baik. Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) di bawah Kementerian Kewangan juga tidak dapat membantu dalam pembiayaan dan menjamin pinjaman bank komersial bagi membolehkan golongan kurang mampu membeli rumah kos rendah.
“Banyak aduan diterima bahawa SJKP tidak berfungsi kerana banyak permohonan tidak dilayan atau diuruskan,’’ tegas Guan Eng.
Justeru, tambahnya, inisiatif tersebut merupakan salah satu usaha murni Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat Negeri Pulau Pinang menikmati kualiti hidup lebih baik dan selesa serta memiliki rumah sendiri.
“Harga jualan pasaran seunit rumah ini adalah RM38,000. Walau bagaimanapun, di bawah skim ini, pemohon hanya perlu mendapatkan pinjaman sebanyak 70 peratus daripada harga tersebut manakala baki pinjaman 30 peratus akan diperoleh daripada Kerajaan Negeri.
“Bayaran semula baki pinjaman (30 peratus) Kerajaan Negeri adalah tanpa faedah. Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan perkhidmatan skim SOS tersebut, pembeli tersebut perlu menunjukkan bukti bahawa beliau tidak berjaya mendapatkan keseluruhan pinjaman berkaitan daripada bank.
“Skim ini juga berfungsi seperti Skim Mikro-Kredit,’’ nyatanya. Guan Eng memberitahu, sejurus selepas perjanjian tersebut ditandatangani, pengurusan dan penawaran 104 unit rumah (itu) akan diserahkan kepada Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Pengagihan dan penawaran akan dibuat Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (Selection Process Enhancement Committee – SPEC) yang dipengerusikan Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, (YB) Jagdeep Singh Deo untuk memastikan pengagihan dibuat secara adil dan telus kepada golongan yang memerlukan dengan diaudit bersama oleh syarikat perakaunan.
“Pemohon yang layak akan menandatangani perjanjian bersama Kerajaan Negeri di bawah Skim SOS,’’ ujarnya.