Sos char kuetiau Aazy Kitchen produk berjaya impak pandemik

Admin
bel 6898

KEADAAN ekonomi tidak menentu susulan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia termasuk negara kita Malaysia kira-kira empat tahun lalu telah mengubah kehidupan banyak pihak.

Tidak terkecuali juga AZYATI YAHAYA, 46, yang pada ketika itu merupakan seorang kontraktor berpengalaman selama 13 tahun, terpaksa beralih arah dan menceburi bidang perniagaan produk makanan.

Ketika ditemui penulis Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS pada 23 Julai lalu, Azyati memberitahu bahawa beliau kini memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan sos char kuetiau serba guna yang diusahakannya.

Penggemar tegar char kuetiau

bel 7027
Char kuetiaw yang dimasak menggunakan sos serba guna Aazy Kitchen.
6
AZYATI Yahaya dengan sijil penghargaan penyertaan dalam pertandingan berkaitan.
bel 7039
ANTARA peralatan ang digunakan untuk menghasilkan sos char kuetiau.
bel 7000
Char kuetiau yang dimasak menggunakan sos serba guna Aazy Kitchen.

5Menurut beliau, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 yang mengehadkan pergerakan rakyat di negara ini telah memunculkan buah fikiran untuk beliau menjalankan perusahaan sos char kuetiau.

“Anak saya merupakan penggemar tegar masakan char kuetiau, jadi semasa PKP, kita semua tidak dibenarkan makan di kedai atau restoran, dan keadaan ini memaksa saya untuk memasak juadah ini sendiri di rumah.

“Dari situlah saya mula belajar memasak char kuetiau menggunakan resipi yang didapati daripada internet dan kemudiannya saya olah sendiri dengan melakukan pelbagai penambahbaikan demi memenuhi cita rasa anak sulung saya.

“Boleh dikatakan hampir setiap hari anak saya meminta agar dimasakkan char kuetiau sebagai juadah makan malamnya, maka muncul pula idea untuk menghasilkan sos char kuetiau segera yang dapat mempercepat proses memasak,” katanya memulakan bicara.

Pemasaran produk

Azyati memberitahu bahawa tanggungjawab menyediakan makanan untuk keluarga sangat penting bagi seorang ibu tetapi proses memasak adakalanya boleh memakan masa sehingga beberapa jam.

Memahami keadaan itu, beliau mula merancang memasarkan produk sos char kuetiau serba guna yang dihasilkannya di bawah jenama Aazy Kitchen Enterprise untuk berkongsi manfaat bersama-sama masyarakat.

“Sos char kuetiau yang saya hasilkan bukan sahaja sesuai untuk masakan kuetiau semata-mata tetapi boleh juga digunakan untuk pelbagai jenis masakan goreng lain seperti mi, mi segera, bihun dan nasi goreng.

“Malah, sos char kuetiau Aazy Kitchen juga sesuai digunakan sebagai bahan perapan untuk masakan bakar atau panggang seperti ikan dan ayam,” jelasnya yang merupakan pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan perniagaan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Azyati yang turut nempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP) dari Universiti Sains Malaysia (USM) memberitahu bahawa beliau memulakan perniagan sos char kuetiau secara kecil-kecilan dengan kuantiti sekali pengeluaran hanya satu periuk besar sahaja.

“Alhamdulillah produk saya mendapat sambutan menggalakkan dan memaksa saya menambah lagi kuantiti pengeluaran sos char kuetiau kepada maksimum 15 periuk sekarang ini.

“Saya berjaya dapatkan bantuangeran bernilai RM50,000 daripada Pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) untuk membeli peralatan perniagaan bagi meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran produk saya.

“Pada mulanya produk saya hanya dipasarkan dengan membuka reruai semasa program Pesta Padi Antarabangsa Kampung Terus dan di tapak-tapak ekspo.

“Namun bermula tahun 2021, produk saya mula dibotolkan untuk pasaran lebih luas, dan saya juga mula berani meletakkan produk saya di kedai-kedai runcit serta pasar awam,” ulasnya lanjut.

Katanya, beliau kemudiannya menyertai kursus latihan dan bimbingan daripada agensi kerajaan termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta diberi peluang menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) di Selangor pada tahun 2022.

“Selepas sertai pameran MAHA, produk saya menjadi lebih dikenali dan sehingga kini sos char kuetiau Aazy Kitchen telah berjaya dipasarkan ke seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak melalui ejen yang sah,” katanya.

Keistimewaan

Azyati memberitahu bahawa dengan kemudahan yang ada kini beliau berjaya mengeluarkan sebanyak 1,500 botol sos char kuetiau serba guna untuk dipasarkan di seluruh negara.

“Sebotol sos char kuetiau dijual dengan harga RM15 bagi botol bersaiz 520 milimeter (ml) dan RM10 untuk berkapasiti 350 ml.

“Botol yang berharga RM15 boleh digunakan untuk memasak sehingga 15 pinggan atau 600 gram (g) kuetiau, malahan cara untuk memasak turut disertakan bagi setiap pembelian sos char kuetiau kami,” ulasnya lanjut.

Tambah beliau, maklum balas mengenai cita rasa sos char kuetiau serbaguna Aazy Kitchen setakat ini sangat memuaskan kerana rasanya yang sesuai dengan pelbagai lapisan umur termasuk kanak-kanak.

“Selain itu, keistimewaan produk kami adalah ia dalam bentuk sedia dimasak yang mana pengguna hanya memerlukan dua atau tiga minit sahaja untuk menghasilkan satu hidangan char kuetiau yang lazat.

“Hal ini kerana sos kami mempunyai kandungan bahan-bahan yang lengkap yang mana pengguna tidak perlu lagi menyediakan bahan-bahan masakan seperti bawang, rempah ratus, dan pelbagai jenis sos.

“Paling tidak pun mereka hanya perlu menambah bahan- bahan kesukaan mereka sahaja seperti sayur, makanan laut dan sebagainya untuk meningkatkan lagi kelazatan makanan mengikut cita rasa masing-masing,” ujarnya sambil menambah bahawa beliau kini sedang memohon peruntukan geran daripada Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan lagi perniagaan.

Perancangan masa depan

Mengulas lanjut, Azyati menyatakan bahawa beliau menaruh impian untuk mempelbagaikan lagi produk perniagaannya selain sedang memohon status Pensijilan Malaysia (Halal).

“Sijil halal penting untuk membolehkan sos char kuetiau dapat dipasarkan di pasar raya terkemuka seperti Mydin dan hotel-hotel.

“Saya juga berhasrat hendak menghasilkan produk baru seperti sos cili ala Thai, char kuetiau segera untuk memudahkan pengguna menikmati judah ini di mana-mana sahaja,”  jelasnya.

Tambah Azyati, mereka yang berminat boleh mendapatkan produk sos char kuetiau Aazy Kitchen di platform Shopee dan Tik Tok (Aazy Kitchen) atau mengunjungi agrobazar, premis perniagaan Jeruk Madu Pak Ali, kedai runcit dan di pasar-pasar awam.

“Semua produk saya telah didaftarkan cap dagang di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Kami juga mengalu-alukan sebarang jemputan untuk menyertai ekspo anjuran Kerajaan Negeri sama ada di dalam mahupun di luar negara,” katanya menutup bicara.