SP Setia Fontaines anjur ekspo tani lokal, tarik minat pembeli hartanah dipuji Ketua Menteri

KETUA Menteri (depan, tengah) diberi penjelasan mengenai rancangan pembangunan masa depan SP Setia Fontaines untuk memajukan sebidang tanah berkeluasan 1,691 ekar dekat Kepala Batas di sini, menjelang tengah hari tadi.

BERTAM – Firma pemaju swasta, SP Setia Fontaines hari ini menyatakan komitmen untuk memajukan sebidang tanah berkeluasan 1,691 ekar dekat Kepala Batas sebagai bandar baharu terancang bertaraf antarabangsa di Wilayah Utara Semenanjung Malaysia.

Ke arah merealisasikan impian itu, firma subsidiari SP Setia Berhad itu turut menganjurkan ekspo ‘HELLO Market’ untuk para petani serta usahawan lokal mempromosi hasil jualan dan produk masing-masing secara langsung kepada para pelanggan.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji inisiatif firma bukan kerajaan tersebut dalam memakmurkan lagi pelan pembangunan masa depan di negeri ini.

“Semua kita patut tahu bahawa pembangunan tidak patut datang daripada program pembangunan Kerajaan Persekutuan sahaja, ataupun daripada program pembangunan Kerajaan Negeri sahaja, sebaliknya memerlukan sektor swasta untuk saling bekerjasama dengan kita (Kerajaan).

“Perancangan ini yang cuba dilaksanakan di negeri dengan menggerakkan segala kekuatan sektor awam dan sektor swasta untuk memacu pembangunan negeri.

“Ekoran itu, kita semua dapat melihat pelbagai inisiatif pembangunan dilancarkan pada tahun ini (2021), dengan tidak melibatkan pembiayaan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya mungkin pembiayaan sektor swasta,” jelasnya semasa merasmikan acara Hello Market @ SP Setia Fontaines di sini pada 3 Januari 2020.

Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut memuji inisiatif Naib Presiden Eksekutif SP Setia Berhad, Dato’ Koe Peng Kang dan Lay Hock Peng (Pegawai Penyelaras Khas Parlimen Kepala Batas) atas penganjuran bersama ekspo hasil pertanian lokal tersebut.

SUASANA di ekspo Hello Market @ SP Setia Fontaines pada pagi tadi.

Selain Peng Kang, turut berucap ialah Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli Majlis MBSP, Ooi Yong Wooi dan Pengurus Besar Division SP Setia Berhad, Ricky Yeo turut sertai acara perasmian pelancaran ekspo tersebut.

Berdasarkan pelan pembangunan SP Setia Fontaines, difahamkan, akan diwujudkan ‘SP International Waterfront dan Musical Fountain’ sebagai salah satu ikon tarikan pelancong ke sini.

Selain itu, turut akan diwujudkan adalah tasik seluas 64 ekar serta taman awam seluas 37 ekar demi meningkatkan lagi kualiti hidup penduduk lokal terutama mereka yang membeli hartanah di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD