SPCP 2023, pelan strategi bantu MBSP capai hala tuju

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerbitkan Seberang Perai Corporate Priorities 2023 (SPCP 2023) dan Pelan Strategi MBSP 2023-2030 yang menggariskan hala tuju pihak berkuasa tempatan berkenaan sehingga tahun 2030.
Datuk Bandar bagi MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata SPCP 2023 dilengkapi dengan maklumat program, Indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI), aktiviti serta hasil setiap program yang telah dirangka untuk dilaksanakan sepanjang tahun 2023.
“MBSP memberi penekanan kepada lima (5) fokus utama dalam menentukan hala tuju iaitu pemantapan pembersihan, pemerkasaan penguatkuasaan, peningkatan hasil, ‘Bandar Raya Tarikan Pelancong’ dan ‘Bandar Raya Sukan’.
“Selaras dengan pembentukkan SPCP 2023 dan Pelan Strategi MBSP 2023-2030 maka ia merupakan satu perancangan atau komitmen MBSP kepada semua pihak berkepentingan dalam menjayakan Visi dan Misi MBSP.
“Kedua-dua dokumen induk ini akan dijadikan sebagai pandu arah kepada warga kerja MBSP dan warga Seberang Perai untuk mencapai hasrat yang diidamkan bersama-sama,” ujarnya pada Mesyuarat Majlis Penuh yang diadakan di Menara Bandaraya dekat sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid; Ahli-Ahli
Majlis MBSP dan Ketua-ketua Jabatan berkaitan.
Dalam perkembangan sama, Azhar turut memaklumkan bahawa MBSP akan memberi penekanan terhadap perkembangan Revolusi Industri 4.0 melalui penggunaan Big Data Analytics (BDA), Internet of Things (loT), Cloud Computing dan Artificial Intelligence (AI) yang bertujuan untuk meningkatkan perkhidmatan kepada warga Seberang Perai serta melakukan transformasi digital, bukan sahaja dapat menjana ekonomi malah menjadikan Seberang Perai lebih makmur.
MBSP dalam pada itu turut menggariskan 10 keutamaan strategik dalam menjayakan SPCP 2030 seperti persekitaran selamat, kemudahan berkualiti, gaya hidup sihat, persekitaran bersih dan penerapan teknologi baharu.
“Lima lagi keutamaan diletakkan MBSP adalah ekonomi bandar berdaya saing, memperkukuhkan bandar warisan, bandar berdaya tahan dan berdaya huni, keterlibatan komuniti serta pembangunan inklusif dan saksama,” katanya lagi.
Serentak dengan itu, MBSP turut melancarkan Pelan Strategik Keterangkuman Gender (DKG) 2023-2025 dan Pelan Tindakan DKG MBSP 2023.
Maklum Azhar, pelan tersebut dirangka dalam memastikan setiap lapisan masyarakat mempunyai peluang yang sama untuk melibatkan diri, menyumbang dan mendapat manfaat daripada projek-projek Kerajaan Negeri.
Ia mengandungi enam strategi pelaksanaan bagi memperkasakan komuniti bertujuan meningkatkan penglibatan sivik dalam perancangan projek-projek yang meliputi keperluan semua tanpa mengira latak belakang.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD