SPEC pastikan hanya individu layak beli rumah mampu milik – Jagdeep

Admin

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Pemilihan Perumahan (SPEC) akan terus memastikan individu yang benar-benar layak untuk membeli rumah mampu milik di negeri ini.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, setakat hari ini seramai 69,949 pemohon telah berjaya melepasi proses pemilihan pembeli yang layak.

 

JAGDEEP Singh Deo (dua dari kiri) pada sidang media sejurus lawatan dan pemeriksaan pembangunan di tapak pembinaan dekat Sungai Ara.

 

Peranan jawatankuasa ini sejak ditubuhkan pada 2013 adalah untuk memastikan hanya pemohon yang layak sahaja mempunyai akses untuk membeli dan memiliki rumah mampu milik yang ditawarkan.

 

“Data dari tahun 2013 menunjukkan seramai 28,548 pemohon yang berjaya adalah pemohonan rumah mampu milik Jenis A; 12,423 pemohon (Jenis B) dan 29,978 pemohon (Jenis C).

 

“(Dan) daripada jumlah pemohon yang telah berjaya melepasi proses pemilihan ini juga, seramai 18,594 pemohon adalah daripada golongan sasaran yang diberikan keutamaan.

 

“Mereka terdiri daripada penduduk kawasan setinggan yang dipindahkan (3,494 orang); ibu atau bapa tunggal (6,512); orang kurang upaya (OKU) (621), penjawat awam (7,767) dan kumpulan bakat (200),” ujarnya pada sidang media sejurus mengadakan lawatan dan pemeriksaan mengejut ke tapak projek perumahan mampu milik, TreeO dekat sini pada 24 Februari 2022.

 

Hadir sama, Ketua Pegawai Bisnes Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Fakhurrazi Ibnu Omar serta wakil Hunza Properties Berhad (Hunza) selaku pemaju projek berkaitan.

 

Dalam pada itu, Jagdeep yang juga Pengerusi SPEC memberitahu bawah Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memastikan rencana penyediaan rumah mampu milik di negeri ini mencapai sasaran iaitu sebanyak 220,000 unit menjelang tahun 2030.

 

Dalam Visi Penang 2030 telah digariskan bahawa Kerajaan Negeri akan berusaha menyediakan ‘bekalan’ rumah mampu milik pelbagai jenis dan menangani isu kemampuan pemilikan rumah.

 

“Sebanyak 38,190 unit rumah telah siap dibina dan sedia diduduki; 19,640 unit lagi sedang dalam pembinaan dan 72,257 unit lagi telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri untuk dibangunkan (keseluruhan 131,391 unit),” jelasnya.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep berharap agar Kerajaan Persekutuan juga dapat menyumbang dalam pembekalan rumah mampu milik di Pulau Pinang terutama kepada golongan sasaran dalam senarai keutamaan.

 

“Misalnya skim Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) (dahulu dikenali sebagai skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, PPA1M) harus diteruskan termasuk di Pulau Pinang bagi memastikan penjawat awam yang layak memiliki rumah sendiri,” katanya.

 

KEMAJUAN semasa adalah 25 peratus dan dijangka siap akhir tahun 2023.

 

Terdahulu, Jagdeep dibawa meninjau ke tapak pembinaan rumah mampu milik TreeO yang terletak di Sungai Ara. Projek yang dijangka siap pada akhir tahun 2023 ini mempunyai 1,240 unit, walau bagaimanapun 92 peratus unit telah terjual dan baki semasa hanya tinggal 99 unit.

 

Projek ini adalah bukti bahawa permintaan rumah mampu milik sangat menggalakkan di Pulau Pinang dan pihak pemaju seharusnya mengambil peluang untuk membangunkan lebih banyak rumah mampu milik.

 

“Projek ini juga adalah hasil usahasama antara Kerajaan Negeri dan Hunza melalui kaedah Perkongsian Awam Swasta (PPP),” katanya lagi yang kemudian menyerahkan sendiri surat tawaran unit kepada 10 pembeli layak yang bertuah sebagai simbolik.

 

Difahamkan, TreeO adalah projek perumahan mampu milik Jenis C3 berkeluasan 900 kaki persegi iaitu dengan harga jualan maksimum adalah RM300,000. 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI