SPH suntik manfaat 3,840 usahawan negeri dengan jumlah agihan RM22.3 juta

Admin
PANTAI JEREJAK – Amaun maksimum pinjaman tanpa kredit, Skim Pinjaman Harapan (SPH) 2.0 hasil inisiatif khas Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dinaikkan kepada RM50,000.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, sebelum ini, SPH pertama hanya menyediakan pinjaman berjumlah RM3,000 hingga RM25,000 berbanding kini, RM5,000 hingga RM50,000.
“Adalah diharapkan dengan penambahbaikan ini, ia dapat membantu usahawan-usahawan di Pulau Pinang mendapatkan pinjaman dengan jumlah yang lebih tinggi sekaligus mengembangkan perniagaan masing-masing.
“Malah, hari ini, kita meraikan 12 peminjam SPH 2.0 peringkat pertama membabitkan jumlah keseluruhan RM235,000,” ujarnya bersempena Majlis Pelancaran Skim Pinjaman Harapan 2.0 di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar.
Menurut Kon Yeow, sejak penubuhan SPH yang sebelum ini dikenali sebagai Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) pada tahun 2009, Kerajaan Negeri melalui PDC telah memperuntukkan dana sebanyak RM11.0 juta untuk pelaksanaan skim berkaitan.
“Sehingga 7 Oktober 2022, sejumlah  RM22,312,630.40 telah diagihkan dan memberi manfaat kepada 3,840 peminjam di semua daerah negeri ini dengan dana terkumpul SPH adalah masih berbaki RM6,318,520.83,’’ jelasnya.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berharap agar para penerima pinjaman dapat menguruskan wang pinjaman dengan baik sebagai modal pusingan serta memberikan kerjasama kepada pihak PDC untuk membuat bayaran balik pinjaman tepat pada masanya bagi membolehkan lain-lain individu yang berminat serta memerlukan juga terus dapat menikmati kemudahan berkaitan.
“Saya menaruh harapan yang tinggi kepada semua agar dapat memanfaatkan pinjaman ini dengan sebaik mungkin dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menambah pendapatan, wang simpanan serta menambahbaik perniagaan demi meningkatkan kesejahteraan hidup,” ulasnya.
Difahmakan, SPH yang pada asalnya dikenali sebagai PTSR berfungsi sebagai medium untuk membantu para peniaga dan penjaja kecil Pulau Pinang melalui sistem penyaluran modal yang mudah. Melalui saluran serta syarat yang telah ditetapkan, para usahawan yang layak berpeluang untuk menerima tawaran modal tambahan yang amat berguna untuk memperkukuhkan keupayaan pengurusan perniagaan masing-masing.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: ALISSALA THIAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS