SEBERANG JAYA – Seberang Perai International Conference on Ecotourism and Conservation Efforts (SPICEC) 2023 membuka tirai hari ini dengan kehadiran lebih 400 peserta dari dalam dan luar negara.
Bertempat di The Light Hotel, SPICEC 2023 yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi, Jagdeep Singh Deo; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arsyad; Setiausaha Bandaraya, Baderul Amin Abdul Hamid serta Pengarah Jabatan Pematuhan Teknikal dan Dasar MBSP, TPr. Mohd. Ridzal Abdul.
Semasa berucap, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata bahawa SPICEC 2023 merupakan sebahagian daripada usaha dalam membantu Kerajaan Negeri bagi mencapai agenda negeri hijau.
“Di Pulau Pinang terdapat dua bidang utama yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri iaitu sektor pengilangan dan pelancongan.
“Saya suka apabila bercakap soal ekopelancongan kerana ia sangat relevan dengan agenda hijau yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri.
“Oleh itu, saya berharap agar segala input yang diperolehi daripada para peserta dari seluruh dunia dapat membantu Kerajaan Negeri mencapai agenda hijau di bawah payung pelancongan,” katanya.
Sementara itu, Azhar berkata bahawa MBSP memilih “The Power & Aspiration of Rivers” sebagai tema penganjuran SPICEC pada tahun ini yang bertujuan untuk mempromosikan usaha pemuliharaan dan pemeliharaan sungai-sungai yang terdapat di Seberang Perai.
“Terdapat beberapa sungai di Seberang Perai yang ada boleh dijadikan peluang dan potensi sebagai produk ekopelancongan seperti Sungai Perai, Sungai Muda, Sungai Kerian dan lain-lain.
“Oleh itu, kita semua berkumpul di sini hari ini untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan dan amalan terbaik untuk membangunkankan industri ekopelancongan Seberang Perai,” katanya.
Azhar berkata, penganjuran SPICEC 2023 diharap mampu memberi impak kepada pembangunan pelancongan di Seberang Perai termasuk pewartaan Persisiran Pantai Telok Air Tawar sebagai Tapak Ramsar Dunia.
“Selain itu, kami juga berharap agar jumlah pelancongan dapat ditingkatkan selain mempromosikan Seberang sebagai hab ekopelancongan dan konservasi,” ujarnya.
Difahamkan, pelbagai program akan berlangsung sempena SPICEC 2023 telah diatur oleh MBSP seperti River Marathon Explorace, Fellowship Ride, Sambutan Hari Landskap Negara serta makan malam di Robina Eco Park.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD