GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat daripada pegawai-pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pulau Pinang di pejabatnya di Komtar.
Kunjungan yang diketuai Pengarah SPRM Negeri, Lim Bee Kean turut disertai Timbalan Pengarah Operasi, Chin Chen Huat; Ketua Unit KPA, Muhammad Hazlisyam Mukhtar; Ketua Siasatan Negeri, Khairul Ridzuan Ikhsan dan Ketua Unit Pendidikan Masyarakat, Haliza Sahafiai.
Dalam pertemuan selama 30 minit itu, Bee Kean yang baru dilantik sebagai Pengarah SPRM Negeri pada Februari lalu, sempat menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Kon Yeow atas kerjasama yang diberikan kepada SPRM terutama dalam aspek pencegahan rasuah.
Dalam pada itu, beliau turut berharap sokongan berterusan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi meningkatkan lagi integriti dalam perkhidmatan kepada rakyat.
Turut dibincangkan adalah isu-isu berkaitan operasi, aktiviti pencegahan oleh SPRM, situasi semasa penularan wabak coronavirus (Covid-19) serta pencapaian SPRM dalam membendung rasuah di negeri ini.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS