SPRWTS: Menteri perlu proaktif dalam rundingan libatkan Perak, kata ADUN Pulau Pinang

Admin
MUHAMMAD Faiz Fadzil

SEBERANG JAYA – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) baru-baru mengumumkan pelan kontigensi termasuk mempertimbang syor mewujudkan loji desalinasi atau nyah garam bagi memenuhi jangkaan permintaan air mentah pada masa depan di negeri ini.

Syor itu susulan daripada perbincangan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) yang melibatkan Pihak Berkuasa Negeri Pulau Pinang dan Perak baru-baru ini.

Pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada 1 Mac 2022 dilaporkan membentangkan tawaran bersyarat untuk Pulau Pinang membeli air mentah dari Perak.

Namun, pada pertemuan tersebut Kerajaan Negeri Perak yang di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamed antara lain menyatakan bahawa Perak mungkin tidak mempunyai lebihan air mentah untuk dijual kepada Pulau Pinang.

Sehubungan itu, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB pada tengah hari ini cuba mendapatkan maklum balas daripada beberapa wakil rakyat berhuhung pelan kontigensi PBAPP untuk mewujudkan loji desalinasi di negeri ini.

Semasa dihubungi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil berkata bahawa Kerajaan Negeri Perak sewajarnya terus berbincang dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi menjayakan SPRWTS.

“Ini kerana, SPRWTS adalah berdasarkan pada semangat bersama iaitu hak riparian atau hak untuk mendapatkan sumber air mentah dari sungai di sempadan walaupun hulunya berada di negeri atau negara lain.

“Kalau pada era 1990-an dahulu, pihak Singapura dan Kerajaan (Persekutuan di) Malaysia serta Kerajaan Negeri Johor boleh memeterai perjanjian baharu yang membolehkan Singapura membina empangan di Sungai Linggiu (cabang Sungai Johor) bagi memproses sendiri air dan menaikkan kapasiti pengeluaran air bagi negara mereka; kenapa tidak Kerajaan Negeri Perak dan Pulau Pinang yang berada dalam satu negara.

“KASA (Kementerian Alam Sekitar dan Air) jua perlu memainkan peranannya secara proaktif, sebagai ‘orang tengah’ bagi menjayakan SPRWTS kerana di Pulau Pinang juga ada rakyat Malaysia, begitu juga di Perak,” jelasnya.

DANIEL Gooi Zi Sen

Bagi ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen pula, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sewajarnya tidak ‘lepas tangan’ dengan membiarkan Kerajaan Perak sahaja membuat keputusan sama ada menyokong SPRWTS atau sebaliknya baru-baru ini.

“Apabila Perak membuat keputusan dalam isu SPRWTS ini, sepatutnya Menteri KASA tidak cepat respons dengan berdalih bahawa keputusan sama ada membenarkan bekalan air mentah kepada Pulau Pinang boleh atau tidak adalah atas kapasiti bidang kuasa negeri (Perak) berkenaan.

“Sepatutnya pada peringkat kementerian (KASA) perlu berusaha menjayakan perbincangan atas semangat Malaysia di semua negeri-negeri di Utara Semenanjung Malaysia.

“Ini kerana, jangan lihat rakyat Malaysia yang tinggal di Pulau Pinang sebagai rakyat Pulau Pinang sahaja, ada juga anak kelahiran negeri Perak, Kedah dan Perlis tinggal dan bekerja mencari rezeki di Pulau Pinang.

“Di samping itu, perlu diakui juga bahawa Pulau Pinang juga adalah penyumbang pada pelaburan domestik dan pelaburan langsung asing (FDI) pada negara; yang mana negeri ini menjadi tempat rakyat Malaysia berkerja dalam pelbagai sektor perindustrian,” ujarnya sambil berharap Menteri berkenaan dapat memainkan peranan secara wajar dalam isu yang melibatkan perbincangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Perak.

A. Kumaresan

Sementara itu, ADUN Batu Uban, A. Kumaresan pula berpendapat bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perak wajar memberikan syor berwajib sekiranya menolak tawaran bersyarat yang dibentangkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi menjayakan SPRWTS.

“Saya juga berpendapat bahawa isu air mentah ini adalah isu kemanusiaan yang mana tidak boleh mana-mana pihak menafikan pihak lain daripada mengakses sumber mentah itu.

“Jadi, semua pihak baik pada peringkat persekutuan atau negeri-negeri yang terlibat mesti meletak sentimen perbezaan parti politik di sebelah semasa mengadakan perbincangan dalam SPRWTS.

“Kalau tawaran bersyarat yang dikemukakan Pulau Pinang semasa perbincangan SPRWTS telahpun ditolak, Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Persekutuan terutama KASA juga perlu memberikan cadangan mereka yang lebih baik demi memastikan jangkaan bekalan sumber air mentah untuk rakyat Pulau Pinang pada masa hadapan kekal terjamin,” jelasnya sambil memberitahu pendapat tersebut dibuat tanpa prejudis pada mana-mana pihak berkenaan.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa dilaporkan berkata pihaknya akan melaksanakan lima projek Pelan Kontingensi Air Mentah 2030 (RWCP 2030) demi memastikan keselamatan bekalan air untuk Pulau Pinang.

Menurutnya, Fasa 2 Naik Taraf Tangki Pemendapan Loji Rawatan Air (LRA) dijangka siap pada tahun 2022; Pakej 12A, LRA Sungai Dua iaitu tambahan modul rawatan air baharu dijangka siap pada tahun 2023; dan Fasa 1 LRA Empangan Mengkuang dijangka siap pada tahun 2024.

Manakala baki dua projek lain dijangka siap pada tahun 2028, iaitu Fasa 1 LRA Sungai Muda dan Skim Bekalan Air Sungai Perai.

Walau bagaimanapun, menurut Jaseni, PBAPP dimaklumkan bahawa Perak mungkin tidak mempunyai lebihan air mentah untuk dijual kepada Pulau Pinang.

Pada pertemuan 1 Mac lepas, menurutnya lagi, berakhir dengan kedua-dua pihak (Kerajaan Negeri Kedah dan Pulau Pinang) bersetuju untuk menunggu hasil Laporan Akhir Kajian Kejuruteraan KASA yang dijangka siap pada April 2022.

Lalu katanya, PBAPP akan mempertimbangkan langkah kontigensi termasuk membina loji desalinasi atau nyah garam demi memastikan jangkaan bekalan air untuk Pulau Pinang sehingga tempoh tahun 2050 adalah kekal terjamin.