SUNGAI DUA – Bencana banjir di Baling, Kedah bukan sahaja mengakibatkan kadar kekeruhan dan pencemaran air mentah di Sungai Muda, bahkan memaksa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengambil langkah kontigensi dengan menutup operasi di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua serta gangguan bekalan air terawat pada lewat petang semalam di negeri ini.
Menganggap pencemaran sumber air mentah Sungai Muda adalah di luar jangkaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang selama ini, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada petang tadi seakan sekali lagi menghantar isyarat kepada Putrajaya bahawa peri pentingnya pelaksanaan Skim penyaluran air mentah Sungai Perak (SPRWTS) diteruskan sebagai sumber air mentah alternatif negeri.
“SPRWTS ketika ini ditangguhkan selama 11 tahun disebabkan tiada mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Perak serta langkah proaktif peringkat Putrajaya.
“Sepanjang masa kita berbincang isu ini bahawa (Pulau Pinang) bergantung kepada sumber air mentah yang bersih dari Sungai Muda dan projek-projek (PBAPP) bertujuan untuk merawat air mentah yang bersih dari Sungai Muda.
“Tetapi, keadaannya sekarang wujud suatu keadaan yang di luar perkiraan kita adalah sumber air mentah dari Sungai Muda yang tercemar.
“Kejadian (di Pulau Pinang) ini berlaku kerana banjir yang besar yang membawa selut, pasir dan sebagainya sehingga mengakibatkan kadar kekeruhan terlampau tinggi (seterusnya) menyebabkan kerja-kerja perawatan air mentah ini tidak dapat dilaksanakan.
“Kita (negeri Pulau Pinang) sehingga tahun 2050 perlu suatu sumber air mentah alternatif yang sama penting dengan air mentah dari Sungai Muda, bukan untuk menggantikan (peranan Sungai Muda) tetapi pelengkap kepada Sungai Muda.
“Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) ini begitu penting tetapi ditangguhkan selama 11 tahun, dan, saya mengambil kesempatan ini bagi pihak seluruh penduduk Pulau Pinang untuk melihat betapa pentingnya bekalan air mentah dari Sungai Perak apabila keadaan sedemikian berlaku,” jelasnya selepas mengadakan lawatan ke LRA Sungai Dua di sini pada 7 Julai 2022.
Bercakap pada sidang media sama, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa memberitahu bahawa langkah kontigensi menutup operasi LRA Sungai Dua pada kira-kira 3 petang semalam bukan suatu keputusan yang mudah.
“Ini bukan keputusan yang mudah.
“Kalau ia melibatkan loji (LRA) yang kecil mungkin mudah (untuk membuat keputusan sama ada untuk mencatu atau tidak).
“LRA Sungai Dua ini melibatkan hampir semua kawasan di negeri ini.
“Apabila kita mengambil langkah menutup LRA Sungai Dua, kita (PBAPP) memerlukan pelan pemulihan,” ujarnya.
Menjawab soalan pemberita selepas itu, beliau memberitahu bahawa dianggarkan 528,000 penduduk negeri terjejas akibat langkah catuan air, dan kini 253,440 penduduk terbabit kembali mendapat bekalan air terawat seperti biasa.
Semalam, Jaseni dilaporkan berkata pada jam 6 pagi Rabu, kekeruhan air mentah yang dipam dari Sungai Muda (melalui Terusan Sungai Dua) ke loji itu direkodkan 3,000 Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU).
Menurut beliau, ia adalah penarafan kekeruhan yang luar biasa tinggi yang mana kekeruhan normal Kekeruhan air mentah dari Sungai Muda adalah di bawah 1,000 NTU.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI