SPU unik promosi tarikan produk pelancongan menarik

Admin

PINANG TUNGGAL – Karnival Kebudayaan dan Makanan Tradisi anjuran Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri Pulau Pinang mampu menjadi sebuah platform dalam memelihara warisan serta budaya di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa kawasan Seberang Perai Utara (SPU) mempunyai kelebihan yang unik.

“Pelan dalam membangunkan eko pelancongan di kawasan SPU telah dibincangkan antara empat hingga lima tahun lalu, maka kini sudah tiba masanya untuk menggembleng seluruh aset dan unit yang ada dalam mencapai kemajuan di kawasan ini.

“Justeru, saya berharap pihak berkuasa yang terlibat berupaya menggunakan sumber tempatan dengan baik serta membina kawasan eko pelancongan setanding negeri-negeri lain seperti Sekinchan (di Selangor) dan Kuala Sepetang (di Perak),” ujarnya semasa menyempurnakan karnival berkaitan dekat Pusat Eko Pelancongan SPU Pinang Tunggal di sini.

KETUA Menteri sempat bergambar kenang-kenangan semasa mengunjungi karnival berkenaan baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin serta Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng.

Mengulas lanjut itu, Kon Yeow turut menyifatkan produk pelancongan keluaran Pusat Eko Pelancongan SPU adalah setanding dengan Cameron Highlands dek kualiti tanaman yang baik.

“Produk pelancongan yang diusahakan di kawasan ini amat menarik perhatian saya, dan kawasan ini boleh dilabel sebagai Cameron Highlands darat.

“Oleh itu, karnival sebegini adalah wajar dijadikan sebagai acara tahunan seiring dengan kegigihan dalam membawa penbangunan yang utuh ke seluruh kawasan SPU dalam jangka masa tiga tahun akan datang,” jelasnya lanjut.

PERSEMBAHAN menarik tarian pelbagai budaya diketengahkan semalam oleh sekumpulan penari.

Buletin Mutiara difahamkan, karnival berkaitan juga turut menyajikan persembahan kebudayaan dan pertandingan karaoke serta jualan-jualan makanan dan produk pelancongan bermula 27 April 2023 sehingga 1 Mei 2023 ini.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : LAW SUUN TING

Video : SIEW CHIA EN