SRISAF platform lahir modal insan berilmu, berdaya saing

Admin
srisaf

PINANG TUNGGAL – Siap dibina sepenuhnya pada tahun 2020, Sekolah Rendah Islam Syeikh Abdullah Fahim (SRISAF) telah memberikan komitmen untuk menyediakan persekitaran pembelajaran terbaik bagi pelajar-pelajarnya.

Menempatkan dirinya sebagai sekolah Kelas Al-Quran Fardu Ain (KAFA) integrasi, SRISAF menawarkan fasiliti moden termasuk ruang pembelajaran kolaboratif yang dilengkapi peralatan ICT seperti projektor, papan pintar, dan smart TV.

SRISAF menyediakan 16 kelas dengan setiap daripadanya mempu menampung seramai 25 orang pelajar, memastikan pembelajaran yang efektif dapat dijalankan.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid menegaskan betapa pentingnya sekolah KAFA dalam melahirkan generasi yang berilmu dan berdaya saing.

“Pembinaan sekolah ini adalah satu langkah yang amat penting dalam usaha melahirkan modal insan yang berilmu dan berdaya saing.

“Sekolah ini menjadi simbol komitmen kerajaan dalam menyediakan infrastruktur pendidikan yang terbaik dan selesa di negeri ini.

“Malah, ia juga merupakan bukti kesungguhan kerajaan dalam usaha memperkasakan agama Islam, seiring dengan perkembangan pendidikan kebangsaan,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian SRISAF dekat sini baru-baru ini.

Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memperuntukkan sebanyak RM21,120,000 setahun bagi bayaran elaun kepada semua 1,600 orang guru KAFA.

Selain itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama Zakat Pulau Pinang (ZPP) turut membiayai tambahan elaun sebanyak RM3,970,200 setahun yang menjadikan keseluruhan pembiayaan KAFA di negeri ini sebanyak RM25,090,200.

Di samping itu, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sejumlah RM2.4 juta bagi pembangunan sekolah agama rakyat untuk tahun ini.

Ia meliputi pembinaan sekolah di Madrasah An-Najah Kampung Selamat Seberang Perai Utara, Sekolah Agama Rakyat (SAR) Nurul Falah Taman Berjaya Nibong Tebal dan SAR Masjid Bandar Baru Ayer Itam, Daerah Timur Laut.

 

Oleh: NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY

Gambar: MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR