Sriven Tan dapat pingat perak

SRIVEN Tan (kiri) berkongsi podium dengan atlet Melaka dan Negeri Sembilan semasa majlis penyampaian pingat di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada pagi tadi.

PUCHONG, SELANGOR – Atlet lumba jalan kaki 20,000 meter (m) Pulau Pinang, Sriven Tan pada awal pagi tadi berjaya memenangi perak dengan catatan masa 1 jam 43 minit 34.13 saat sungguhpun Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Pulau Pinang dan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) tidak menyasarkan sabarang pingat bagi acara tersebut.

Sriven Tan berada di belakang atlet negeri Melaka, Muhammad Fakhrul Razi Jailani yang mencatatkan rekod masa 1:40:05.94.

M. Sivanesh yang mewakili Negeri Sembilan terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan rekod masa 1:46:09.28 dalam acara sama yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada 18 September 2022.

CHLOE Chng Qin Yan

Saingan pada sebelah pagi tadi turut menyaksikan atlet atlet lompat bergalah wanita Pulau Pinang, Chloe Chng Qin Yan mendapat pingat gangsa.

Bagi acara itu, negeri Sarawak merangkul pingat emas, sementara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya membawa pulang perak.

Difahamkan, masih tinggal sembilan acara sukan olahraga berbaki yang dijadualkan mula berlangsung pada 3.00 petang ini di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.

PENGARAH MSNPP, Harry Chai Heng Hua (berdiri) di bangku penonton turut mengibarkan bendera semasa majlis penyampaian pingat kepada atlet di sini tadi.

16 September lepas, Sriven Tan memenangi pingat emas bagi acara lumba jalan kaki 10,000m dengan catatan masa 48 minit 14 saat.

Sirven Tan yang ditemui Buletin Mutiara, antara lain memberitahu bahawa beliau akan mencabar lagi diri bagi acara lumba jalan kaki 20,000m dan beliau telah membuktikannya pada pagi tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MSNPP