Sriven Tan menang pingat emas, Melissa Chong gangsa

Admin
SRIVEN Tan

PUCHONG, SELANGOR – Atlet lumba jalan kaki lelaki 10,000 meter (m) Pulau Pinang, Sriven Tan memenangi pingat emas dengan catatan masa 48 minit 14 saat dalam acara yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada pagi tadi.

Manakala, atlet lompat tinggi wanita Pulau Pinang, Melissa Chong En Xuan pula berjaya meraih pingat gangsa dengan rekod 1.60m, di belakang atlet negeri Perak (1.70m) dan Terengganu (1.65m).

MELISSA Chong En Xuan

Sriven Tan yang ditemui kemudian mengaku kurang berpuas hati dengan rekod pencapaian peribadinya itu, serta berjanji untuk mencabar lagi diri sendiri dalam saingan acara lumba jalan kaki lelaki 20,000m yang dijadualkan pada Ahad nanti di sini.

“Masa terbaik yang pernah saya capai untuk acara ini adalah 49 minit 23 saat…dan dalam acara ini saya sebenarnya sasar masa 47 minit 30 saat.

“Dalam kegembiraan semua dengan sambutan Hari Malaysia 16 September pada hari ini, secara peribadi saya berasa begitu gembira juga kerana segala pengorbanan dari sudut masa dan tenaga selama ini, akhirnya berbaloi.

“Jadi, saya akan mencabar lagi diri untuk acara 20,000m lumba jalan kaki nanti pada pagi Ahad ini (19 September 2022),” jelasnya dalam nada penuh bersemangat.

Acara penyampaian pingat kepada Sriven Tan yang sepatutnya dijadualkan sesi saingan sebelah pagi tadi ditangguhkan ke petang ini, atas sebab-sebab tertentu pada peringkat penganjur.

Buletin Mutiara difahamkan, Kontinjen Pulau Pinang bersempena temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 pada kali ini dilaporkan menyasarkan tiga pingat emas untuk sukan olahraga sahaja, termasuk dalam acara lumba jalan kaki 10,000m yang diwakili Sriven Tan.

Dua pingat emas lain yang turut disasarkan peringkat kontinjen negeri bagi sukan olahraga adalah acara decathlon lelaki dan acara rejam lembing wanita.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI