Status OKU bukan halangan Sakarar jadi pelukis

Admin

TELUK AYER TAWAR – WALAUPUN dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU), namun ia langsung tidak mematahkan semangat anak jati Pulau Pinang, T. Sakarar, 56 untuk menjalani hidup seperti manusia normal yang lain.

Malah, kekurangan yang ada pada diri beliau dijadikan motivasi untuk terus maju dengan mengasah bakat melukis yang dimiliki sejak berusia lima tahun lagi.

Antara karya yang dihasilkan Sakarar.

Sakarar berkata, walaupun hanya berjaya menamatkan pelajaran di peringkat Sijil Rendah Pelajaran (SRP) sahaja tetapi beliau tetap tidak berputus asa dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kemahiran dalam berkarya.

“Walaupun kerjaya sebagai pelukis bukanlah kerja hakiki tetapi saya tetap berharap agar suatu hari nanti saya boleh menceburi bidang ini secara lebih serius.

“Minat terhadap seni lukis tidak pernah padam meskipun sekarang ini saya bekerja sepenuh masa sebagai pengawal keselamatan.

“Sebab itulah di samping melukis saya juga menjadi tenaga pengajar bagi kelas lukisan untuk pelajar sekolah rendah sekolah menengah di kawasan sekitar.

Sakarar menunjukkan kemahiran melukis wajah yang mampu disiapkan dalam masa 10 minit.

“Tambahan pula, salah seorang anak saya juga mempunyai minat yang sama,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui dikediaman beliau dekat Taman Pantai Bersih, di sini.

Bercerita mengenai perancangan masa hadapan, Sakarar memberitahu bahawa beliau berhasrat untuk mengembangkan kemahiran melukis kepada perniagaan sampingan yang mampu menjana pendapatan.

Namun katanya, hasrat tersebut sukar dilaksanakan pada masa ini ekoran kekangan sumber kewangan untuk membeli peralatan lukisan yang lebih bermutu seperti cat arkilik, papan lukisan lebih bermutu serta kelengkapan lain.

“Buat masa sekarang saya hanya melukis gambar-gambar pemandangan dan wajah manusia menggunakan pewarna biasa seperti poster color, soft pastel serta pensel biasa.

Pemandangan alam merupakan lukisan yang paling digemari.

“Oleh itu, setiap lukisan yang saya hasilkan hanya mampu dijual pada harga RM10 setiap satu yang mana lukisan yang dihasilkan biasanya akan dijual di pasar-pasar awam,” ujarnya lagi yang merupakan salah seorang penerima bantuan emas Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Justeru, beliau merupakan bapa kepada empat cahaya mata berharap agar dapat memperoleh sedikit peruntukan untuk menghasilkan lukisan yang lebih bermutu untuk mebantu meningkatkan pendapatan keluarga.

Difahamkan, setiap lukisan yang dihasilkan Sakarar mampu disiapkan hanya dalam tempoh masa 10 hingga 20 minit.

Bagi yang berminat untuk membeli lukisan atau menyumbang peralatan melukis boleh hubungi talian : 017-401 5849.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD