Status pembangunan lot tanah Masjid Ayer Itam selesai – TKM1

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (tengah) bersama-sama dua pemimpin Kerajaan Negeri dalam sidang media di Komtar pada tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Akhirnya Kerajaan Negeri baru-baru ini meluluskan permohonan pemberimilikan tanah seluas 13,111 meter persegi atau 3.24 ekar kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk tujuan tapak pembangunan Masjid Bandar Baru Ayer Itam termasuk tapak parkir.

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

Selain itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memberitahu bahawa Kerajaan Negeri turut meluluskan pemberimilikan tanah seluas 5,868 meter persegi atau 1.45 ekar yang dimohon oleh MAINPP untuk tujuan tapak pembangunan ‘sekolah agama’ yang menjalankan operasi Kelas Al-Quran dan Fardhu A’in (KAFA).

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti memberitahu bahawa dwi permohonan MAINPP itu telahpun dibawa ke Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 3 Februari lepas dan disahkan pada 10 Februari 2021.

“Pada masa kini, MAINPP dalam proses mengemukakan permohonan pemberimilikan tapak KAFA tersebut kepada Pejabat Tanah Timur Laut.

“Diharapkan, keputusan ini dapat memberi manfaat untuk pembangunan spiritual dan pendidikan Islam khususnya di kariah Masjid Bandar Ayer Itam,” jelasnya lagi yang juga Yang Dipertua MAINPP merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

Sebelum pada itu, Ahmad Zakiyuddin dengan diiringi Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mengumumkan pemberian bantuan khas secara ‘one-off’ berjumlah RM900 seorang kepada 812 peminjam aktif Skim Pinjaman Harapan (SPH) demi membantu mereka mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini.

Terdahulu, Ahmad Zakiyuddin dalam kenyataannya pada 5 Januari 2021 memberitahu bahawa Kerajaan Negeri memerlukan masa untuk meneliti permohonan yang dibuat beberapa pihak untuk pembangunan tapak tanah tersebut, di nombor lot 7738 MK14, Daerah Timur Laut.

Selain permohonan MAINPP, difahamkan, lot tanah tersebut turut dimohon dua pihak lain iaitu bagi pembinaan bangunan sekolah jenis kebangsaan Tamil serta pembesaran taman awam oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB