Status tanah berkaitan SJKT Mak Mandin bakal diteliti, respons Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (tiga dari kiri) menyerahkan cek replika RM100,000 kepada R. Arunasalam (empat dari kiri) di Komtar tadi, bagi tujuan membantu menjayakan projek pembinaan dewan sekolah SJKT Mak Mandin yang sedang diusahakan oleh pihak Lembaga Pengelola Sekolah berkenaan.

GEORGE TOWN – Status tanah sedia ada yang menempatkan bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mak Mandin, dewan sekolah baharu dan padang akan diteliti daripada segi tahap perkembangannya pada peringkat Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian semasa mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Lembaga Pengelola SJKT Mak Mandin, Dato’ Seri R. Arunasalam dan tiga individu lain.

Mereka, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola SJKT Mak Mandin, G. Shanmuganathan; M. Saravanan (Pengerusi Bangunan) dan R. Nirmala (Bendahari) yang mana turut mengikuti perbincangan tersebut di Pejabat Ketua Menteri dekat Komtar di sini pada 17 Januari 2022.

“Saya percaya dalam isu tanah ini dalam proses… saya akan semak semula mengenai tahap pemajuan tentang permohonan tanah oleh pihak LPS (Lembaga Pengelola Sekolah),” responsnya sebelum menyerahkan cek replika sumbangan RM100,000 daripada Peruntukan Khas Ketua Menteri untuk membantu meringankan beban kewangan Lembaga Pengelola SJKT Mak Mandin dalam projek pembinaan dewan sekolah.

Sebelum itu, Arunasalam memberitahu bahawa projek pembinaan dewan sekolah tersebut bernilai RM3.5 juta, dan pihaknya memerlukan kira-kira RM1.5 juta lagi bagi menyiapkan fasa akhir projek tersebut.

Mengulas lanjut, Saravanan memberitahu bahawa pihaknya turut berharap Kon Yeow memberi tambahan peruntukan berjumlah RM500,000 memandangkan kos pemajuan meningkat semasa ini.

Dalam reaksi spontan, Kon Yeow berkata bahawa segala harapan dan permintaan Lembaga Pengelola SJKT Mak Mandin akan dipertimbangkan kelak.

“Berhubung dengan (permohonan) peruntukan tambahan (berjumlah RM500,000), kita akan lihat dan pertimbangkan,” responsnya sambil berharap projek pembinaan dewan sekolah berkenaan akan meningkatkan lagi kualiti hidup pelajar dan penduduk di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Dalam.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING