GEORGE TOWN – Keperluan melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran dalam industri amat penting dalam memacu ekonomi Pulau Pinang yang lebih mapan pada masa hadapan.
Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, Kerajaan Negeri membuka ruang kolaborasi dengan pelbagai agensi dan institusi untuk menyediakan tenaga kerja berkemahiran dalam industri pada masa hadapan.
Menyediakan tenaga kerja berkemahiran dalam industri terutama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) amatlah penting dan menjadi keutamaan Kerajaan Negeri sejak sekian lama, maka usaha perlu diperkukuh melalui kolaborasi dengan pelbagai pihak.
“Sesuai dengan slogan Penang STEM (iaitu) ‘Creating Future Talent Today’, hari ini kita akan memperkenalkan inisiatif baharu di bawah STEM Talent Pipeline untuk para pelajar pada peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Program ini adalah hasil kolaborasi Kerajaan Negeri bersama-sama pihak industri iaitu dari ViTrox dan organisasi negeri, Penang STEM yang mana menawarkan empat program bagi memupuk minat sebagai persediaan menyediakan modal insan berkemahiran pada masa hadapan untuk Pulau Pinang,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains & Teknologi pada sidang media di Komtar, pada 10 Mac 2025.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Penang STEM 4.0, Datuk Richard Chung Chok Yin dan Ketua Pembangunan Kemahiran ViTrox Academy Sdn. Bhd., Dr. Tan Yeow Kiang.
Dalam pada itu, Chok Yin memaklumkan bahawa program yang dimaksudkan kesemuanya adalah berasaskan kecerdasan buatan (AI), STEM dan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).
“Bagi pelajar di bangku sekolah rendah, kita akan memperkenalkan AIkids iaitu pengenalan dan pengetahuan asas berkaitan AI.
“Bagi pelajar menengah rendah pula, program StepUP Wizkids yang mana kita akan mula memperkenalkan mereka dengan AI dan data sains.
“Manakala, bagi pelajar menengah atas, kita menyediakan dua program iaitu Technical Skill Learning dan STEM Future Proofing yang mana pelajar akan didedahkan dengan kemahiran, kejuruteraan dan data sains,” jelasnya.
Buletin Mutiara difahamkan bahawa kesemua program terlibat akan melibatkan kerjasama daripada Kementerian Pendidikan, Kementerian PendidikanTinggi dan Kementerian Sumber Manusia serta Universiti Sains Malaysia (USM), institusi vokasional dan industri.

Mengulas lanjut, Chok Yin berharap program yang ditawarkan ini mampu memberi inspirasi kepada para pelajar untuk menerokai subjek berteraskan STEM.
Sementara itu, Yeow Kiang berkata, dalam menyokong hasrat Kerajaan Negeri, pihaknya turut mengambil inisiatif dengan mewujudkan Vitrox Institute of Technology (VIT).
“VIT merupakan sebuah kolej berteraskan industri yang bakal memberi peluang kepada para pelajar lepasan SPM, pelajar daripada keluarga B40 dan mereka yang tinggal di kawasan yang tidak mempunyai akses teknologi untuk memupuk kemahiran.
“Institut ini direka bentuk untuk menjadi sebuah Pusat Kecemerlangan (COE), Pusat Pembangunan Kepimpinan dan Latihan yang mana sambil belajar kemahiran sambil bekerja dan diberikan elaun.
“Program yang distrukturkan juga merangkumi pelbagai aspek dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi,” katanya.
Menurut Yeow Kiang, pihaknya mensasarkan kemasukan 500 pelajar tahun ini yang mana kelompok pertama dijangka bermula bulan hadapan.
Gambar : LAW SUUN TING