Stepping Stone – penyuntik harapan OKU

Admin

 

NUN jauh di sudut pedalaman Pulau Betong, Balik Pulau, berdirinya sebuah pusat diusaha sepenuhnya oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi penyuntik harapan kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) mental atau ‘Intellectually Disable’ (ID) di negeri ini.

SALAH seorang pekerja sedang menyiapkan produk kertas daripada batang pisang.
SALAH seorang pekerja sedang menyiapkan produk kertas daripada batang pisang.

Menyediakan pelbagai latihan kemahiran kepada golongan yang sentiasa dipinggirkan oleh masyarakat umum, Stepping Stone : Support Centre In Community Living (SS) merupakan satu-satunya nadi harapan golongan istimewa ini untuk menabur bakti kepada masyarakat.

Dibiayai sepenuhnya oleh Nippon Foundation, ACE Japan, Lion’s Club International Foundation, Persatuan Bunga Tanjung, Mitsubishi Foundation dan beberapa pertubuhan lain, SS bukan berfungsi sebagai sebuah rumah kebajikan yang menawarkan perkhidmatan penjagaan kepada golongan-golongan berkenaan, sebaliknya, adalah menjadi prinsip SS untuk melatih seseorang OKU ID dari tahap permulaan dikenali sebagai ‘pekerja biasa’ kepada ‘pekerja’ mahir’ dan seterusnya sebagai seorang ‘pelatih’ yang mampu berdikari dan mempunyai pendapatan sendiri.

ROZIHAD Yahya menunjukkan proses tenunan yang menjadi kemahirannya sejak 10 tahun lalu.
ROZIHAD Yahya menunjukkan proses tenunan yang menjadi kemahirannya sejak 10 tahun lalu.

Penyelia Pusat SS, Hasra Othman berkata, pihaknya akan memproses permohonan sama ada secara bertulis atau ‘walk in’ mengikut kriteria ditetapkan iaitu seseorang perlu berusia 18 tahun ke atas ; mempunyai pengangkutan sendiri (latihan khas dalam tempoh tiga hingga enam bulan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas akan diberikan kepada pemohon yang tidak memiliki pengangkutan sendiri) dan keutamaan diberikan kepada pemohon OKU ID berbanding kecacatan fizikal.

Pada tempoh percubaan tiga bulan pertama, seseorang ‘pekerja biasa’ tidak akan diberikan elaun. Sepanjang tempoh ini, mereka akan didedahkan dengan semua aspek latihan kemahiran di SS sebelum dikhususkan mengikut bakat serta minat masing-masing.

Di SS, kita bukan hanya berfokuskan kepada latihan penghasilan produk hiasan, sebaliknya, produk kegunaan harian seperti tenunan guni, cebisan kain, benang halus, rafia, penghasilan sabun daripada minyak terpakai, bakeri, memasak, batik, penghasilan kertas daripada batang pisang dan ikat celup merupakan keutamaan khas bagi memenuhi permintaan pasaran komersial,’’ katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

DIANA Mariawa.
DIANA Mariawa.

Salah seorang pelatih produk tenunan, Diana Mariawa, 26, berkata, selepas tamat tingkatan 5, ekoran kecacatan yang dialami, kakak serta abangnya tidak membenarkan beliau keluar bekerja sepanjang tempoh dua tahun.

Sering kali saya terfikir bahawa takkan OKU hanya mampu dok rumah seumur hidup dan makan minum ditanggung orang je. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana beberapa bulan selepas itu, jiran saya menyatakan bahawa terdapat sebuah pusat latihan yang menawarkan pekerjaan kepada orang macam saya.

Ketika mula mendaftarkan diri dan menghadiri sesi temuduga, abang berpesan supaya tidak bertanyakan tentang bayaran gaji. Pesannya adalah bersyukur kepada Allah dengan peluang yang diberikan,’’ jelasnya yang mula menyertai SS pada tahun 2004.

Bagi Rozihad Yahya, 39, yang juga merupakan pelatih produk tenunan menyatakan bahawa latihan kemahiran yang diperlajari di SS bukan hanya menambah keyakinan di dalam dirinya malah turut mendedahkan beliau dengan masyarakat umum secara keseluruhan.

Pada hari Ahad terakhir setiap bulan, pihak penganjur pasar jalanan di Upper Penang Road akan menyediakan satu gerai kepada SS bagi tujuan memasarkan produk kami. Di sana, saya bertemu dengan ramai pelancong dari dalam dan juga luar negara.

Berbanding dulu, masyarakat umum kini lebih terbuka dan tidak lagi memandang serong terhadap kami. Malah, mereka amat kagum dengan produk yang dihasilkan oleh saya dan juga rakan-rakan di SS,’’ ujar Rozihad.

Sebagai insan biasa, Rozihad menyatakan bahawa beliau juga memiliki keinginan untuk memulakan hidup berkeluarga. Namun, setelah menjalin hubungan sejak tahun 2004, niatnya kini masih mendapat tentangan daripada pihak keluarga.

Bagi maklumat lanjut, sila hubungi Stepping Stone : Support Centre For Community Living, 53, Jalan Baru, MK 1 Pulau Betong, Balik Pulau, 11000 Pulau Pinang. Nombor telefon : 04 – 866 5349, Faks : 04 – 866 5887.

CORAK batik yang dihasilkan mengikut kreativiti pelatih.
CORAK batik yang dihasilkan mengikut kreativiti pelatih.