Stesen e-waste tingkatkan literasi alam sekitar

Admin
9c018f64 2577 4f8e 930b be6e7151550e

PADANG TEMBAK – Penyediaan Stesen Kitar Semula (e-waste) bukan sahaja dapat mengurangkan pencemaran, tetapi juga mempertingkatkan literasi alam sekitar dan gaya hidup hijau dalam kalangan orang ramai.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata inisiatif tersebut adalah berdasarkan kajian yang menjangkakan sebanyak 24.5 juta unit e-waste akan dihasilkan di Malaysia menjelang tahun 2025.

“Peluncuran stesen e-waste pada hari ini adalah satu langkah penting ke arah memastikan kelestarian alam sekitar di kawasan kita.

3f976978 5c08 454b 8ed3 edbe255a3c25
SYERLEENA (kanan).

“Semakin banyak barangan elektrik dan elektronik yang dihasilkan, semakin banyak juga e-waste yang perlu dibuang atau diuruskan.

“Sekiranya e-waste diuruskan tanpa mengguna pakai kaedah yang mesra alam seperti dibuang ke dalam sungai, ke tapak pelupusan atau dibakar secara sesuka hati akan membahayakan kehidupan, menjejaskan kesihatan dan menyebabkan kemerosotan kualiti alam sekitar,” katanya pada majlis gotong-royong dan peluncuran e-waste di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Tembak, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Decent Industry Sdn. Bhd, Vincent Tan; Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut (DTL), Rozaini Mat Shah; Pegawai Penerangan DTL, Lim Miow Juang dan Pengerusi MPKK Padang Tembak, Loh Eng Kim.

Kata Syerleena, beliau berharap program tersebut akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif serupa di tempat-tempat yang lain pada akan datang.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab bersama- sama dalam menjaga dan memelihara alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.

“Dalam merealisasikan aspirasi ini, saya ingin mengajak semua pihak termasuk syarikat-syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang persendirian untuk turut serta.

“Penglibatan dan sokongan semua pihak adalah amat penting untuk memastikan kejayaan dan kesinambungan program ini,” ujar Syerleena.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa setiap usaha kecil yang dilakukan mampu membawa perubahan besar jika ia dilakukan secara bersama-sama.

181b1082 d802 46a4 a684 72b1c776775b
STESEN e-waste yang disediakan di kejiranan Padang Tembak.

“(Oleh itu), kita perlu mengambil langkah untuk memastikan bahawa program kitar semula ini berterusan dan bukan hanya usaha sementara,” tambah Syerleena.

Teks & Gambar : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI