Stesen Pengurusan Sisa Pepejal Batu Maung mula beroperasi, pertama dalam negara guna teknologi vertical compression

Admin

BATU MAUNG – Stesen Pengurusan Sisa Pepejal Batu Maung yang merupakan pusat transit bagi pengumpulan sisa pepejal sebelum dihantar ke tapak pelupusan sampah Pulau Burong, mula beroperasi Disember tahun lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, stesen pengurusan sisa pepejal berkenaan dengan kos kira-kira RM75 juta itu merupakan projek terunggul serta pertama dalam negara yang menggunakan teknologi vertical compression.

“Kaedah pemampatan dari atas ke bawah ini adalah yang pertama di Malaysia, yang mana jika tidak mempunyai tenaga elektrik pun, ia masih mampu beroperasi.

“Selangor juga mempunyai satu yang menggunakan teknologi serupa (pemampatan), tetapi mereka (Selangor) menggunakan kaedah horizontal compression iaitu pemampatan dari tepi.

“Kemudahan pengurusan sampah ini sememangnya satu projek penting untuk negeri, pembinaannya sahaja memakan masa satu setengah tahun setelah lokasi dan pematuhan syarat-syarat alam sekitar dipatuhi.

“Stesen ini mempunyai kemudahan kitar semula, leachate treatment facility dan pusat sumber. Diharap ia (stesen) mampu menjadi contoh kepada PBT (pihak berkuasa tempatan) lain dan juga kepada universiti, kolej, pelajar atau mana-mana jabatan berkaitan untuk mempelajari mengenai pengurusan sisa pepejal,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Kon Yeow berkata demikian ketika ucaptama Majlis Perasmian Stesen Pengurusan Sisa Pepejal Batu Maung berhampiran Jambatan Kedua di sini pagi ini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Dato’ Abdul Halim Hussain (Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan); Dato’ Ar. Yew Tung Seang (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP); Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Ahli-ahli Majlis MBPP dan Kenny Yeoh (Pengarah Eurasia Express Sdn. Bhd., EESB).

Pembinaan Stesen Pengurusan Sisa Pepejal Batu Maung yang menelan belanja sebanyak RM75 juta adalah dibiayai oleh syarikat dilantik iaitu EESB, dan MBPP akan membuat bayaran RM1.56 juta secara bulanan kepada syarikat berkenaan yang mengendalikan pemindahan sampah dari Batu Maung ke Pulau Burong.

Menurut Kon Yeow, kaedah lama untuk mengangkut sampah dari Batu Maung ke Pulau Burong yang menggunakan laluan laut telah diperintah untuk dihentikan sejurus pembinaan Jambatan Kedua ekoran timbul isu keselamatan apabila bot-bot tersebut melalui kawasan berkenaan.

“Kita diarahkan untuk menukarkan operasi mengangkut sampah daripada laluan laut kepada pengangkutan darat.

“Berdasarkan arahan itu, Kerajaan Negeri cepat-cepat mengambil keputusan untuk menaik taraf pusat pemindahan Ampang Jajar supaya sampah yang dibawa dari pulau dihantar ke sana buat sementara waktu, dan terpaksa berkongsi dengan MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai).

“Pada masa sama, kita memulakan proses untuk projek ini,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow turut memaklumkan hasrat Kerajaan Negeri untuk membangunkan kawasan tapak pelupusan sampah dekat Jelutong.

“Di Jelutong, kita mempunyai cadangan untuk mengorek semula sampah-sampah di sana dan jadikan tapak tersebut sebagai satu kawasan rekreasi atau pun dibangunkan semula untuk pelbagai kegunaan,” katanya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI