Strategi 4P ke arah tandas bersih

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan kebersihan tandas sebagai salah satu budaya masyarakat yang wajar dipraktikkan, Kerajaan Negeri bersama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah melancarkan Kempen Tandas Bersih 2012 di sini baru-baru ini.

Ahli Majlis MPPP, Ong Ah Teong berkata, objektif kempen tersebut bukan sahaja bagi memupuk kesedaran, tetapi juga bagi meningkatkan profesionalis mendalam penyelenggaraan pengurusan tandas dan meningkatkan imej tandas ke tahap berprestij tinggi.

mppp-KempenTandas Bersih 2012

“Untuk memastikan kempen ini mencapai objektifnya, strategi 4P diperkenalkan iaitu pembelajaran, publisiti, penilaian dan pengiktirafan. Fasa pembelajaran telah bermula dari bulan Mac di mana kita (MPPP) telah mengadakan kursus dan taklimat bersama penyelia, pengendali tandas, pengusaha stesen minyak, restoran dan pusat beli-belah agar maklumat ini dapat disampaikan dengan menyeluruh.

“Pada masa sama, risalah, poster, pameran di kompleks beli-belah, paparan digital dan portal MPPP digunakan sebagai medium publisiti dan insiatif tersebut diharap dapat menjadi perantara berkesan untuk penyaluran mesej ini kepada masyarakat,” katanya pada majlis sidang akhbar Kempen Tandas Bersih 2012 di sini baru-baru ini.

Lanjutan itu, tambah Ah Teong, satu unit penilaian telah dibentuk dengan melibatkan Jabatan Pelajaran Negeri (tandas sekolah), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (tandas pejabat kerajaan), Bahagian Perlesenan MPPP (tandas stesen minyak, restoran, kedai makan dan pusat beli belah) dan Bahagian Perkhidmatan Perbandaran MPPP ( tandas milik PBT).

“Unit ini berperanan bagi menilai keseluruhan tandas di Pulau Pinang pada fasa pertama yang bermula pada Mei sehingga Julai 2012 nanti. Seterusnya, tandas yang memperoleh jumlah mata yang tinggi akan layak ke fasa kedua (Ogos – Julai 2012),’’ jelas Ah Teong.

ONG Ah Teong (tengah) bersama Pegawai MPPP menunjukkan sebahagian risalah yang digunakan untuk tujuan publisiti Kempen Tandas Bersih 2012 di sini baru-baru ini.
ONG Ah Teong (tengah) bersama Pegawai MPPP menunjukkan sebahagian risalah yang digunakan untuk tujuan publisiti Kempen Tandas Bersih 2012 di sini baru-baru ini.