GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekali lagi mengulangi komitmen dalam memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat di negeri ini terus terjamin.
Hal ini termasuk usaha membantu sektor ekonomi agar kembali berkembang pesat pasca wabak pandemik COVID-19.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, wabak COVID-19 telah menyebabkan seluruh dunia terhenti seketika secara serentak buat pertama kalinya sejak Perang Dunia Kedua.
“Pengulas ekonomi termasuk International Monetary Fund (IMF) bersetuju bahawa krisis ekonomi yang bakal dihadapi pasca COVID-19 adalah yang paling buruk sejak Zaman Kemelesetan 1929.
“Tiada satu negara di dunia ini bersedia menghadapi penularan wabak COVID-19 termasuk kuasa-kuasa besar ekonomi dunia seperti China, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah,” ujarnya yang memetik jumlah kes COVID-19 seluruh dunia.
Sehingga 16 April 2020, sebanyak 2,029,930 kes dilaporkan seluruh dunia dengan jumlah kematian mencecah 136,320. Manakala di Malaysia, 5,182 kes dilaporkan dengan 84 kematian.
Buat masa ini, Kerajaan Negeri tidak perlu mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mana-mana lokaliti dekat Pulau Pinang.
“(Hal ini demikian kerana), mengikut Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, situasi COVID-19 adalah terkawal dan dipantau secara rapi melalui kerjasama erat antara semua agensi (mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan),” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua barisan hadapan yang bertungkus-lumus melaksanakan tanggungjawab masing-masing memerangi penularan wabak COVID-19 di negeri ini.
Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, percaya bahawa di sebalik yang berlaku kini, ada hikmahnya.
“Jabatan dan agensi kerajaan, baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri tidak lagi bekerja secara berasingan ataupun in-silo, sebaliknya semua saling melengkapi antara satu sama lain.
Masyarakat juga memainkan peranan penting, tanpa sokongan mereka, sudah pasti tiada satu kerajaan pun di dunia mampu menangani krisis COVID-19 ini.
“Kita lihat bagaimana badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta yang turut menghulurkan bantuan kepada kelompok yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan. Syabas saya ucapkan kepada semua,” zahirnya.
Selain Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang yang berjumlah RM75 juta yang diumumkan pada 25 Mac lalu bagi meringankan beban rakyat yang terkesan, Kerajaan Negeri juga giat merangka Strategi Next Normal Pulau Pinang bagi memulihkan keadaan seperti sedia kala.
Dalam usaha ini, kata Kon Yeow, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan yang seimbang dengan menfokuskan isu kesihatan awam serta kesejahteraan ekonomi.
“Strategi Next Normal Pulau Pinang ini mempunyai tiga misi utama iaitu mengukuhkan ekosistem di Pulau Pinang; menyelaraskan ekosistem tersebut agar sesuai dengan perubahan abad ke-21 dan membina ketahanan menghadapi sebarang kemungkinan krisis pada masa hadapan.
Strategi ini akan melihat kepada pembaharuan dalam aspek institusi, ekonomi serta sosial di Pulau Pinang.
“Malah, kita sudah boleh melihat contoh anjakan tersebut dalam operasi Kerajaan Negeri minggu ini yang mana kedua-dua pihak berkuasa tempatan membantu para peniaga kecil dan penjaja memasuki e-dagang menerusi kempen dalam talian.
“Kerajaan Negeri juga mengarahkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan InvestPenang untuk melibatkan industri berdasarkan kekuatan semasa Pulau sebagai hab pembuatan bekalan utama global, sebagai pusat makanan serta hasil tani dan dalam industri elektronik dan elektrikal.
“Semua ini akan menjadi usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang pasca COVID-19 nanti, justeru, saya berharap Kerajaan Persekutuan dapat sama berkongsi visi ini dan melihat nilai yang dimiliki oleh Pulau Pinang untuk membantu negara.
“Kerajaan Negeri juga berikrar melaksanakan pembaharuan ekonomi melalui galakan penggunaan platform digital dalam pelaksanaan pembangunan, menarik pelaburan serta memperbanyakkan peluang pekerjaan untuk rakyat,” jelasnya.
Usai ucapan, Kon Yeow dan seluruh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bertafakur selama seminit bagi memperingati pemergian mangsa-mangsa COVID-19 seluruh dunia.
Usul bagi penangguhan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Keempat Belas diterima sebulat suara oleh semua Ahli-Ahli Dewan dan ditangguhkan pada 11:25 pagi, 17 April 2020.
Dewan Undangan Negeri akan bersidang semula pada suatu tarikh yang akan ditetapkan nanti.
Memasuki hari ke-31 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan untuk menuruti Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, supaya bersidang dalam tempoh enam bulan dari tarikh persidangan sebelumnya yang akan tamat pada 7 Mei 2020.
Menariknya persidangan kali ini serba ringkas, tiada kawalan kehormatan seperti kelazimannya. Malah, kesemua 59 soalan lisan akan dijawab secara bertulis.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI Video : ALVIE CHENG