PULAU TIKUS – Kerajaan Negeri berhasrat hubungkan laluan basikal di bawah Pelan Induk Laluan Basikal Pulau Pinang dengan membina sebuah struktur ecodeck berkonsepkan rangkaian hijau di sepanjang pantai Tanjung Bungah.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, ecodeck dengan jumlah jarak lebih kurang enam kilometer (km) itu akan menghubungkan pantai di hadapan Hotel Flamingo di Tanjung Bungga hingga ke Hotel Shangri-La’s Rasa Sayang.
“Memandangkan laluan di sekitar kawasan itu agak sempit, maka pembinaan ecodeck ini dicadangkan untuk dibina di atas platform di sepanjang pantai dengan kelebaran anggaran 3.5 meter (m), iaitu 2m untuk laluan basikal manakala 1.5m untuk laluan pejalan kaki dan komponen pembinaan ini adalah termasuk platform (ecodeck), struktur sokongan di bawah platform serta railing keselamatan.
“Jarak adalah lebih kurang 6km dengan anggaran jumlah kos sebanyak RM40 juta,” ujarnya ketika sidang media di sini sebentar tadi.
Hadir sama Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang, Mohamed Akbar Mustapha (Pengarah Khidmat Pengurusan MBPP), Ir. A. Rajendran (Pengarah Kejuruteraan MBPP) dan Nur’ Aisyah Md Norodin (Ketu Penolong Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan).
Menurut Jagdeep, ecodeck ini akan menjadi sebahagian daripada 200km laluan basikal yang telah dirancang di seluruh kawasan pulau menjelang tahun 2020 oleh MBPP, di mana 90 peratus atau kira-kira 180km laluan tersebut telah siap dengan kos RM34.8 juta dibiayai Kerajaan Negeri.
“Lorong-lorong basikal dan laluan pejalan kaki ini akan dihubungkan dari Gurney Wharf ke Batu Ferringhi meliputi jarak 12.5km.
“Pada masa ini, 2km telah dibina di kawasan Sri Tanjung Pinang dan 2.5km sedang dibina (dari Tesco Sri Tanjung hingga Hotel Flamingo), manakala 8km lagi berada pada peringkat perancangan,” katanya.
Justeru, tambah Jagdeep memandangkan kos pembinaan ecodeck tersebut yang agak tinggi, beliau akan cuba berbincang bagi mendapatkan pembiayaan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Memandangkan esok Menteri (Perumahan dan Kerajaan Tempatan) akan datang, saya akan cuba berbincang mengenai perkara ini,” ujarnya ringkas.