SUNGAI BAKAP – Suara wakil rakyat Melayu dalam Kerajaan Pulau Pinang akan bertambah seorang lagi jika majoriti rakyat bersedia memberi peluang kepada calon Perpaduan N.20, Dr. Joohari Ariffin memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada Sabtu ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri memberitahu perkara itu seusai berucap dalam Majlis Sembang Santai Bersama-sama Penduduk Taman Enggang di sini pada 4 Julai 2024.
“Semestinya (dengan mengundi Cikgu Joohari akan menambah suara wakil rakyat Melayu dalam Kerajaan Negeri)…sesuai dengan komposisi pengundi yang majoriti adalah berbangsa Melayu,” jelasnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri.
Menurut beliau, menguatkan suara ADUN berbangsa Melayu dalam Kerajaan Negeri hari ini akan melimpahkan pelbagai faedah kepada rakyat, berbanding mengekalkan wakil rakyat dalam blok pembangkang Pulau Pinang.
Reaksi spontan Kon Yeow itu sekali gus memandulkan kempen politik perkauman yang ditajamkan pihak pembangkang kebelakangan ini konon-konon arus pembangunan Pulau Pinang seakan meminggirkan kepentingan rakyat luar bandar terutama orang Melayu dan umat Islam.
Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Pilihan Raya Negeri 2023, 59.36 peratus adalah pengundi Melayu, 22.54 peratus (Cina), 17.39 peratus (India) dan 0.61 peratus (lain-lain).
Kini, difahamkan, kerusi DUN Sungai Bakap mempunyai 39,279 pemilih yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
Dalam ceramah sebelum itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa setiap satu undi kepada Joohari adalah usaha mengukuhkan semangat perpaduan rakyat berbilang kaum serta agama, sebagaimana diusahakan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaaan Persekutuan.
“Pastikan setiap undi untuk memperkukuhkan Kerajaan Negeri, pastikan setiap undi untuk mengukuhkan semangat Perpaduan,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon; ADUN Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng dan ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze turut menyertai acara menyantuni penduduk lokal tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & video : SIEW CHIA EN