Sidang Wanita bagi penuhi sasaran peringkat pembuat dasar

TELUK AIR TAWAR – Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani inginkan lebih ramai penyertaan wanita dalam peringkat pembuat dasar sebagai membela hak gender tersebut di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut beliau, sasaran 30 peratus suara wanita dalam dua institusi tersebut kini masih belum mencukupi untuk mengangkat suara wanita.

“Daripada 222 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, cuma 32 Ahli Parlimen adalah wanita, ini bermakna cuma meliputi kira-kira lebih 14 peratus sahaja… ini adalah tidak cukup.

“Penambahan peratusan wanita pada peringkat pembuat dasar adalah sangat penting kerana apabila wanita bersuara, dia akan bersuara untuk semua, untuk anak dia, suami, ibu dan ayah dia, adik-beradik dan bersuara untuk komuniti dia.

“Dalam pada itu, wanita juga bersuara untuk ibu tunggal, kurang mampu, mangsa dera dan lain-lain, justeru adalah penting untuk kita menambah suara wanita dalam peringkat berkaitan khususnya arena politik,” ucapnya pada Sidang Wanita 2020 Peringkat Seberang Perai Utara di sini 6 September lalu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad dan Ketua Pegawai Ekskutif Perbadanan   Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng.

Melalui program yang dianjurkan, Kasthuriraani menyatakan bahawa ianya bukan sahaja untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat atau ADUN, sebaliknya juga bagi mengangkat golongan wanita sebagai pemimpin peringkat masyarakat.

Pada majlis sama, Mustafa Kamal turut berkongsi perjalanan karier politik beliau membabitkan tempoh kira-kira lebih 20 tahun.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI