Sub-perjanjian Pakej 2 PTMP dimeterai, projek bakal dimulakan 31 Oktober

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini memeterai sub-perjanjian bagi memulakan pembinaan Pakej 2 iaitu jajaran sepanjang 5.7 kilometer (km) yang menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam dan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu berdekatan Jabatan Laut Wilayah Utara, Gelugor.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, jajaran yang bermula dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu itu menelan kos sebanyak RM851,040,000.

 

KETUA Menteri dan Tan Sri Dato’ Seri Azmi Khalid (duduk, kanan) menandatangai sub-perjanjian Pakej 2 berkaitan sambil disaksikan oleh Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi (berdiri).

“Jajaran Pakej 2 ini adalah salah satu komponen Projek Jalan-Jalan Utama dan Terowong di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) serta bakal dilaksanakan berdasarkan kontrak ‘lump sum’.

 

“Tempoh pelaksanaan projek ini pula adalah selama 36 bulan mulai (upacara) pecah tanah (di tapak projek) pada 31 Oktober 2019,” ujarnya pada sidang media sejurus menandatangani sub-perjanjian berkaitan di Komtar tengah hari ini.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa jajaran tersebut merangkumi seksyen jejambat atau elevated section sebanyak 70 peratus dan selebihnya merupakan seksyen jalan biasa atau at-grade.

 

Projek ini bertujuan untuk menambah baik penyuraian trafik di kawasan-kawasan yang mengalami kesesakan jalan raya yang serius.

 

“(Dan) menjadi harapan saya serta hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar projek ini dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat keseluruhannya,” katanya.

 

Terdahulu, Kon Yeow mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang menandatangani ‘Sub-Agreement in Relation to the Construction of a By-Pass from Bandar Baru Air Itam (Farlim) Connecting to Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eng (Package 2) in the State of Penang’ dengan syarikat konsesi Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZC) selaku kontraktor berwajib diwakili oleh Pengerusinya, Tan Sri Dato’ Seri Azmi Khalid.

 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; barisan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad; ex-officio; Pengarah Eksekutif Kanan CZC, Datuk Lee Chee Hoe serta wakil-wakil daripada Jabatan berkaitan.

 

Bercakap kepada pemberita, Azmi dalam pada itu berkata bahawa pihaknya menggunakan kepakaran kontraktor tempatan dan upacara pecah tanah bagi memulakan projek akan diadakan berdekatan Lebuhraya Thean Teik.

 

Sebagai rekod, Projek Jalan-Jalan Utama dan Terowong mempunyai tiga pakej iaitu Pakej 1 melibatkan jajaran dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, Pakej 2 (Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu) dan Pakej 3 (dari Persiaran Gurney dan sekitar Central Business District di George Town ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu).

 

KETUA Menteri bersama-sama Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (dua dari kanan); Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu (kiri sekali) menunjukkan ilustrasi jajaran Pakej 2 projek berkaitan kepada pemberita.

Projek ini ditawarkan kepada CZC pada tahun 2013 melalui proses tender terbuka yang mana perjanjian awal atau preliminary agreement telah dimeterai bagi membolehkan pelaksanaan Kajian Kebolehlaksanaan Projek atau feasibility study dan Rekabentuk Terperinci projek berkaitan.

 

Lanjutan perolehan kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) Jadual Kedua dari Jabatan Alam Sekitar pada 7 November 2017, Kerajaan Negeri mencadangkan untuk melaksanakan Pakej 2 terlebih dahulu dan pada 2 Oktober 2019, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah bersetuju menandatangani sub-perjanjian Pakej 2 bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan dimulakan.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN