Sudah sampai masanya, wanita berubah & lebih aktif – ADUN

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: NAZLEEN NAJEEB

GEORGE TOWN – Bagi memperkasa golongan wanita dan merapatkan jurang gender sedia wujud kini, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) tampil menganjurkan Bengkel Kepimpinan bertemakan ‘Wanita Dan Lelaki Bersama-sama Untuk Urus Tadbir Yang Baik’ di sini baru-baru ini.

Mengikut statistik, sebanyak 50 peratus penduduk Malaysia adalah terdiri daripada kalangan wanita, tetapi, hanya sekitar 10 peratus sahaja yang menjadi Ahli Parlimen. Malah, di sektor kerajaan, ia hanya membabitkan pangkat lebih rendah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey berkata, sudah sampai masanya wanita berubah dan lebih aktif.

“Masa sudah berubah. “Wanita seharusnya lebih aktif dan lebih berkeyakinan dalam menghadapi cabaran masa kini,” ujarnya ringkas pada penganjuran bengkel berkenaan di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng dan ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim.

Forum yang dikendalikan PWDC tersebut dihadiri lebih 40 wanita daripada pelbagai latar belakang.

Selain daripada pengucapan awam, kemahiran persembahan dan pengurusan masa, para peserta turut diberi peluang menunjukkan potensi diri masing-masing melalui sesi kepimpinan yang dijalankan.