PRAKTIKAL… Sudut Sisa Sifar atau Zero Waste Corner yang dilancarkan di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti ( JKKK) Taman Alma Jaya baru-baru ini merupakan projek perintis Penang Green Council (PGC) dalam meningkatkan kesedaran warga luar bandar terhadap kepentingan pengurusan dan pengasingan sisa buangan domestik.
Pelancaran yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng; Yang diPertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif dan ahli-ahli jawatankuasa PGC.
Sudut Sisa Sifar yang pertama seumpamanya di Pulau Pinang dilengkapi dengan tujuh buah tong pembuangan berkonsepkan kitar semula diperbuat daripada papan lapis yang bukan sahaja murah, malah, mudah diperoleh.
Setiap tong telah dilabelkan mengikut beberapa kategori sisa pembuangan domestik antaranya plastik, kaca, kertas, sisa elektronik, tin aluminium dan bahan bacaan.
Sisa-sisa buangan yang terkumpul akan dijualkan kepada syarikat-syarikat kitar semula dan wang hasil jualan tersebut akan disalurkan ke dalam tabung khas JKKK yang akan digunakan untuk kebajikan dan keperluan komuniti setempat.