PANTAI JEREJAK – Kejohanan Sukan Gemaputera Ke-17 Pulau Pinang 2024 yang dihoskan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) melabuhkan tirai dengan penyertaan kira-kira 1,200 orang baru-baru ini.
Menurut Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen temasya sukan itu bukan sahaja mengejar kemenangan, namun mampu mengeratkan perpaduan di kalangan peserta.
“Sukan bukan sahaja tentang kemenangan, tetapi juga tentang kerjasama, perpaduan dan persahabatan di samping membina hubungan yang lebih erat dalam kalangan peserta.
“Semoga selepas acara ini berakhir, kita dapat berkolaborasi untuk menerokai bidang-bidang berpotensi dalam masa yang terdekat.
“Tahniah juga diucapkan kepada semua kontinjen yang mengambil bahagian dalam enam acara sukan yang dipertandingkan, bagi kontinjen yang tidak berjaya, usaha boleh ditingkatkan lagi untuk menghadapi Kejohanan Sukan Gemaputera Ke-18 di Sarawak pada tahun 2026 nanti,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Gemaputera Ke-17 Pulau Pinang 2024 di SPICE Convention Centre di sini baru-baru ini.
Kejohanan yang menghimpunkan kakitangan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dan UDA Holdings Berhad merupakan satu pengiktirafan atas kebolehan dan kemampuan PDC untuk mengurus serta mengendalikan satu acara sukan yang besar.
“Semoga kita dapat berkolaborasi untuk menerokai bidang-bidang berpotensi pada masa akan datang dalam memajukan sektor-sektor berkaitan ekonomi di negeri masing-masing.
“Tidak dilupakan, sekalung penghargaan dan tahniah kepada PDC, serta barisan ahli jawatankuasa induk sukan yang telah berusaha keras dalam memastikan penganjuran Kejohanan Sukan Gemaputera Ke-17 Pulau Pinang 2024 berjalan dengan lancar dan jayanya.” katanya lagi.
Teks & Gambar: NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY