PINANG TUNGGAL – Kira-kira 500 penduduk setempat Kampung Lahar Tiang di sini hadir menggamatkan Sukaneka Rakyat dianjurkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Lahar Tiang baru-baru ini.
Menurut Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pinang Tunggal, Muhasdey Muhammad, acara sukan tesebut diadakan dalam usaha menggalakkan penyatuan ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat.
“Sambil kita bersukan untuk kesihatan, kita juga bertemu untuk merapatkan ukhuwah.
“Alhamdulillah, saban tahun, kehadiran dan penerimaan penduduk semakin ramai,” ujarnya pada program berkenaan di sini baru-baru ini.
Selain acara futsal, pertandingan mewarna, lari dalam guni dan lari sambil bawa bola pingpong dalam sudu, paling mencuri tumpuan adalah acara berbasikal lambat dan mengail botol.
“Ini adalah acara tradisional yang telah lama dimainkan oleh kanak-kanak di desa, dan hari ini, kita bangkitkan semula acara sukan itu supaya ia tidak lesap dek zaman,” jelasnya.
Turut dianjurkan Jamuan Rakyat melibatkan semua ahli-ahli JKKK Lahar Tiang dan penduduk kampung.