PENGKALAN KOTA – Lebih 150 penduduk sekitar Taman Harbour View memeriahkan program sukaneka yang bertujuan mengeratkan lagi hubungan sesama mereka di sini.
Sukaneka yang diadakan pada sambutan Hari Kebangsaan Ke-61 itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Pengkalan Weld dengan kerjasama Lion Club George Town.
Sukaneka santai itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti riada dan acara sukan rakyat selain pengisian lain seperti penyampaian sumbangan hamper makanan kepada 30 keluarga yang kurang berkemampuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen ketika ditemui berkata, sukaneka tahunan itu mampu menjadi landasan terbaik untuk mengeratkan hubungan melalui semangat kemerdekaan yang diraikan selama 61 tahun ini.
“Melalui sukaneka ini, kita bukan sahaja dapat berkumpul malah turut dapat memberi pemahaman kepada kanak-kanak tentang kemerdekaan.
“Difahamkan, 17 acara sukan hari ini semuanya khas untuk kanak-kanak di kawasan ini termasuk jemputan khas dari Ramakrishna Ashrama dan saya harap aktiviti kemasyarakatan seperti ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang,” katanya yang turut meluangkan masa memberi sorakan semangat kepada peserta sukaneka.