Sukarelawan MyVAC mahu berbakti, bantu negara jayakan PICK

Admin

FIRDAUS AZALI, 38, berbangga menjadi salah seorang sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC), malah sangat bersyukur diberikan peluang membantu negara dalam usaha membendung pandemik COVID-19.

Beliau yang merupakan bekas Pegawai Khidmat Pelanggan di salah sebuah syarikat penerbangan swasta kini bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega dekat SPICE Arena di sini.

Menurut Firdaus, pengalamannya dalam bidang khidmat pelanggan begitu sinonim serta dekat dengan masyarakat dan sesuai dengan kemahirannya berkomunikasi, beliau ditugaskan di bahagian pendaftaran atau pengesahan terakhir di PPV mega berkenaan.

Jelasnya, apa yang beliau dan rakan setugas lain perlu lakukan adalah memastikan segala maklumat yang dipaparkan di aplikasi MySejahtera adalah sama dengan tarikh dan maklumat temujanji yang diberikan sebelum penerima vaksin menerima vaksinasi masing-masing.

“Selain untuk mencari pendapatan ekoran telah ditamatkan perkhidmatan, kesempatan bertugas di sini juga merupakan pengalaman berharga buat saya.

“Di sini, bagaimana saya melayan para penumpang di lapangan terbang, begitu jugalah layanan yang sama diberikan kepada semua penerima vaksinasi yang hadir ke sini setiap hari… iaitu layanan ‘lima bintang’,” ujarnya yang telah mula bertugas di situ sejak 7 Jun lalu.

Ketika ditanya mengapakah beliau merelakan diri menjadi sukarelawan, pemuda ini dengan spontannya berkata bahawa beliau melakukannya demi negara Malaysia tercinta.

“Kita selalu menyoal apa yang negara atau kerajaan lakukan untuk kita sebagai rakyat, tetapi apa yang sebenarnya kita (rakyat) boleh buat dan berbakti untuk negara.

“Di kesempatan ini memandangkan Lapangan Terbang Antarabangsa pun masih ditutup ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya mengambil peluang untuk menaburkan bakti di sini walaupun pada awalnya agak kekok kerana pertama kali bertindak sebagai sukarelawan,” ujar beliau sambil berkongsi harapan untuk bekerja semula dengan sektor penerbangan apabila sempadan negeri dan negara dibuka semula kelak.

Inisiatif sukarelawan MyVAC ini diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau Jabatan Belia dan Sukan negeri yang bertujuan untuk membantu kelangsungan perjalanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di setiap PPV, dan secara tidak langsung memberi mereka ruang untuk berbakti kepada negara.

Difahamkan, PPV Mega SPICE Arena mempunyai kira-kira 100 sukarelawan MyVAC yang membantu melancarkan pemberian vaksin harian kepada 3,000 penerima setiap hari.

Sementara itu, buat MAIZATUL FARHANA FAUZI, 28, yang merupakan Penasihat Takaful sambilan turut tidak ketinggalan menyertai barisan sukarelawan MyVAC sementara mengisi masa senggang.

Beliau bertanggungjawab untuk menguruskan pemberian vaksinasi kepada pelbagai golongan orang kurang upaya (OKU) yang hadir ke PPV berkenaan setiap hari.

“Ini merupakan pengalaman baharu dan menarik buat saya, mungkin pengalaman sekali seumur hidup.

“Setiap hari pengalaman yang berbeza apabila terpaksa berurusan dengan pelbagai golongan OKU dan kebanyakan daripada mereka adalah yang berusia.

“Proses vaksinasi untuk golongan ini lebih mudah kerana bukan sahaja tempat pemberian vaksinasi khas telah diwujudkan tetapi jaraknya juga dekat, di mana sehari kira-kira 20 penerima OKU akan hadir ke sini.

“Mereka (OKU) ini sebenarnya lebih tenang kerana ditemani waris atau peneman masing-masing untuk proses vaksinasi, apa yang perlu dilakukan adalah kita perlu sentiasa berinteraksi dengan mereka bagi mengurangkan ketakutan, malah para doktor dan jururawat di sini sangat memainkan peranan,” ujarnya sambil memuji segala layanan dan kemudahan kelengkapan yang disediakan untuk semua para petugas di PPV Mega berkenaan sangat memuaskan.

Selain sukarelawan MyVAC dan petugas barisan hadapan, perjalanan harian PPV Mega ini juga dibantu oleh petugas-petugas SPICE, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan para petugas syarikat penerbangan Firefly. Manakala, persekitaran luar dipantau oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan ketenteraman kekal terkawal.

Bagi LOH JI YUAN, 32, beliau merasakan bahawa selain merungut sahaja di media sosial berhubung situasi terkini penularan pandemik COVID-19 dalam negara, lebih baik beliau bersama-sama menabur bakti mempercepatkan proses vaksinasi buat rakyat Pulau Pinang.

“Saya mempunyai pengalaman sebagai sukarelawan sebelum ini jadi ia tidaklah begitu kekok.

“Perubahan informasi yang berlaku terlalu pantas adalah cabaran utama, tetapi ini adalah langkah proaktif untuk menguruskan pandemik ini di mana virus merebak dengan begitu pantas hingga memerlukan keputusan dibuat segera.

“Kami di sini juga perlu mempersiapkan diri dengan maklumat kerana penerima yang datang akan menyoal, jadi penting untuk kami berikan maklumat yang tepat.

“Sikap penerima adalah berbeza, kami cuba sedaya-upaya untuk menjadi ramah bagi mengurangkan rasa gelabah mereka, kadangkala dengan bertanya khabar dan melemparkan senyuman sudah cukup membuatkan para penerima tenang sebelum divaksinasi,” ujarnya yang petah berbicara.

Manakala, N. MANJUBARKAV, 27, yang merupakan seorang bekas Polis Bantuan dan surirumah ingin memanfaatkan masa terluangnya dengan melakukan sesuatu untuk negara.

“Saya dengan hati terbuka ingin membantu di sini, meskipun pada mulanya timbul kegusaran dengan keadaaan PPV yang ramai orang, tetapi apabila semua sukarelawan akan divaksinasi terlebih dahulu ini meredakan kerisauan.

“Sepanjang bertugas di sini sejak 7 Jun lalu, pelbagai perkara lucu berlaku disebabkan penerima yang gelabah dan takut untuk divaksinasi.

“Disebabkan gementar, ramai yang hadir di kaunter pendaftaran gugup dan mengeluarkan kad pengenalan orang lain, tetapi tidak kurang juga yang datang ke sini dan berubah fikiran secara tiba-tiba.

“Ada yang waktu terakhir ingin membatalkan atau menukar tarikh vaksinasi, segala masalah berbangkit kita akan rujuk kepada help desk,” kongsi beliau.

Kini pemberian vaksinasi dos pertama masih berjalan di PPV Mega SPICE Arena dan dos kedua dijangka akan bermula pada hujung Julai ini.

Bagi Penyelaras MyVAC PPV mega SPICE Arena, NORHASHEKIN ABDUL AZIZ, 42, berkata bahawa beliau menerima permohonan yang terlalu banyak daripada orang ramai untuk menjadi sukarelawan.

“Kita faham, ketika pandemik ini ramai yang terkesan, ada yang diberhentikan kerja, pendapatan dipotong dan sebagainya. Di sini, saya sedaya-upaya memberikan peluang kepada semua yang memohon dan memenuhi kriteria setelah sesi temuramah dibuat secara dalam talian.

“Malah, ada yang ingin membantu di sini tanpa mahukan bayaran pun, tetapi kita perlu mengawal bilangan sukarelawan di sini kerana tidak mahu situasi menjadi terlalu padat.

“Sukarelawan yang ada kini dibahagikan kepada dua shift, dan setiap daripada mereka dibayar RM50 setiap hari dan setiap shift,” maklum beliau.

Berkongsi pendapat sama, Pegawai Belia dan Sukan Unit Kepimpinan Asasiah, MUHAMAD MUSTAKIN MUSTAIN berkata bahawa respons permohonan yang diterima di kira-kira 12 PPV di seluruh Pulau Pinang sangat memberangsangkan.

“Permohonan secara dalam talian yang diterima daripada orang ramai setiap hari terlalu banyak, dan pengagihan jumlah sukarelawan ke sesebuah PPV ditentukan berdasarkan keperluan dan permintaan,” ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: CHAN KOK KUAN