BANGI, SELANGOR – Bendera Pulau Pinang dan 14 kontinjen lain termasuk negara Brunei Darussalam yang mengambil bahagian pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 mula berkibar pada awal pagi ini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini menandakan temasya dwitahunan itu akan bermula secara rasminya, berlangsung dalam tempoh 16 hingga 24 September 2022.
Ketua Kontinjen (CDM) Pulau Pinang, Soon Lip Chee yang juga Exco Belia dan Sukan, dengan dibantu Penolong Ketua Kontinjen (DCDM), Cheah Ban Cheng merangkap Timbalan Pengerusi II Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) mengemudi 10 atlet negeri iaitu Sriven Tan (Olahraga); Putera Muhammad Basid (Hoki); SK Balassena (Hoki); A. Navenesvaran (Kriket); Visharuben Kumar (Kriket); Ch’ng Qin Yan (Olahraga); Lee Xin Mei (Olahraga); Puteri Yasmin (Olahraga); Nur Hafizah Maznan (Hoki) dan Putri Nur Batrisyia Nor Nawawi (Hoki) bagi upacara menaikkan bendera di perkarangan Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) dekat Universiti Awam pada pada 14 September 2022.
Mewakili Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA Ke-20 Majlis Sukan Negara (MSN) 2022, Dato’ M. Jana Santhiran hadir menyempurnakan acara perasmian majlis tersebut.
“Majlis menaikkan bendera merupakan acara simbolik bagi meraikan secara rasmi kehadiran semua rakan-rakan (Kontinjen Negeri) dari seluruh negara dan juga negara Brunei Darussalam.
“Saya juga menyeru semua pihak untuk bersaingan dengan semangat yang tinggi, bertandinglah secara baik dan kekalkan ikatan silaturrahim sesama kita demi imej serta martabat sukan negara,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada pihak pentadbiran UKM sebagai tuan rumah majlis pada pagi ini.
Selain itu, beliau berharap lebih banyak rekod baharu kejohanan akan dicipta setelah hampir tiga tahun temasya sukan tersebut tidak dapat dilangsungkan.
Seusai itu, Lip Chee dalam kenyataan berasingan kepada Buletin Mutiara sekali lagi berharap Kontinjen Pulau Pinang dapat sekurang-kurangnya satu pingat bagi setiap 31 acara yang disertai, tidak termasuk sukan demonstrasi (kabaddi dan silambam yang tidak melibatkan pingat kemenangan).
“Saya harap kita (Kontinjen Negeri Pulau Pinang) dapat meraih 31 pingat bagi kesemua (31 acara) yang kita sertai.
“Ini kerana, di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri mempromosi (kempen dan slogan) ‘Sukan Untuk Semua’.
“Jadi, saya secara peribadi berharap setiap acara yang kita sertai ini menyumbang sekurang-kurangnya satu pingat,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.
Di samping itu, beliau sekali lagi memberitahu bahawa Kontinjen Negeri mengekalkan sasaran asal pingat sebagaimana dinyatakan sebelum ini iaitu 26 pingat emas, 20 perak dan 44 gangsa; sekali gus dapat memperbaiki kedudukan keenam yang dicapai pada SUKMA Perak 2018.
Selain UKM yang menjadi tuan rumah dan perkampungan sukan terbesar sempena temasya pada kali ini, Stadium Nasional Bukit Jalil turut menjadi lokasi utama edisi ke-20 SUKMA selain sebahagian daripada Bandar Sukan Kuala Lumpur, yang turut merangkumi Pusat Akuatik Nasional, Stadium Hoki Nasional, Pusat Skuasy Nasional dan Arena Axiata.
Acara pelayaran sahaja akan dilangsungkan di luar Lembah Klang, iaitu di Pusat Pelayaran Langkawi, Kedah Darul Aman.
Sementara, acara berbasikal dan memanah akan dilangsungkan di Nilai, Negeri Sembilan Darul Khusus.
Lebih 7,000 atlet daripada 15 kontinjen (termasuk Brunei Darussalam) telah mengesahkan penyertaan untuk bertanding dalam 725 acara daripada 31 jenis sukan sempena temasya pada kali ini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI