KAJANG, SELANGOR – Walaupun terlepas sasaran pingat emas, skuad sepak takraw Pulau Pinang tetap membawa pulang gangsa selepas ‘merejam’ pasukan Selangor dalam aksi saingan pada 17 September 2022 di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di sini.
Skuad bimbingan Ketua Jurulatih, Mohamad Fazil Mohd. Asri dalam saingan pada petang tadi berjaya ‘merejamkan’ pasukan Selangor sebelum dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga.
Pagi tadi, skuad sepak takraw negeri Pulau Pinang tewas pada pasukan Perak dalam saingan peringkat separuh akhir.
Skuad Perak mara ke perlawanan akhir serta hanya mampu meraih pingat perak, selepas ‘dilibas’ oleh pasukan juara iaitu Terengganu.
Mohamad Fazil yang ditemui kemudian memberitahu bahawa Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Pulau Pinang dan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) memang menyasarkan satu pingat emas bagi sukan sepak takraw.
Namun, beliau menganggap kegagalan meraih pingat emas itu sebagai kelemahan dirinya sendiri.
“Berat sebenarnya untuk saya memberi ulasan dan komentar.
“Saya kena letak kegagalan meraih (pingat) emas ini atas diri saya sendiri, saya sebagai Ketua Jurulatih (Skuad Sepak Takraw Negeri Pulau Pinang) perlu menggalas segala tanggungjawab ini kerana gagal merealisasikan sasaran negeri.
“Sama sekali saya tidak akan menyalahkan para pemain saya, yang bagi saya telah melakukan yang terbaik untuk negeri Pulau Pinang,” jelasnya.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI