KUCHING – Dua lagi pingat gangsa berjaya diraih oleh Kontinjen Negeri Pulau Pinang dalam Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak masing-masing menerusi acara renang dan menembak.
Dalam acara renang yang berlangsung dekat Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini menyaksikan Vivian Xing Lee Tee berjaya memenangi pingat gangsa ke-17 dalam kategori 50 meter (m) kuak lentang wanita selepas mencatatkan masa 30.81 saat.
Pingat emas dan perak bagi acara tersebut pula berjaya disapu atlet Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masing-masing menerusi Chong Xin Lin (29.74 saat) dan Lee Wei Wen (30.39 saat).
Sementara itu, Kontinjen Negeri Pulau Pinang turut meraikan kegembiraan di Lapang Sasar Menembak dekat sini apabila skuad menembak berjaya meraih pingat gangsa ke-16 dalam acara 50m prone wanita.
Nur Sumayyah Dzulkifli, Tan Ying Ying dan Siti Zulaikha Haira terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga dengan mengumpul 1,706 mata di belakang pasukan Perak yang diwakili Nurul Ain Murad, Nazzatul Anis Azizi dan Nur Afni Athirah Mohd. Ariff (1,713 mata).
Pingat emas pula dimenangi oleh pasukan Negeri Sembilan yang dibarisi oleh Gan Chen Jie bersama-sama Aina Zahara dan Nuraisyah Suraya Muhammad Radzi dengan kutipan 1,750 mata.
Jurulatih pasukan menembak negeri, Faizah Ab. Aziz ketika ditemui berkata bahawa kemenangan tersebut adalah sesuatu yang tidak dijangka memandangkan kebanyakan atlet yang bertanding terdiri daripada pasukan kebangsaan.
“Sebelum perlawanan, saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk memperoleh pingat kerana saingan sangat kuat tetapi tidak menyangka kita berjaya memperoleh pingat gangsa.
“Kejayaan ini adalah hasil daripada usaha gigih dan sikap tidak berputus asa pemain kita yang telah menunjukkan aksi sehabis baik dan perkara ini sememangnya sesuatu yang memggembirakan,” katanya ketika ditemui.
Pada Sabtu lalu, Nur Sumayyah telah mencipta rekod peribadi tersendiri apabila berjaya meraih pingat perak dalam acara 50m rifle 3 posisi individu wanita.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR & SIEW CHIA EN