KUCHING – Atlet menembak negeri, Nur Sumayyah Dzulkifli mencipta rekod peribadi tersendiri apabila berjaya meraih pingat perak dalam acara 50 meter (m) rifle 3 posisi individu wanita.
Dalam acara yang berlangsung dekat Lapang Sasar Menembak, Stadium Sarawak di sini, Nur Sumayyah berjaya mengumpul 563 mata.
Bercakap kepada Buletin Mutiara, Nur Sumayyah, 20, berkata kemenangan di tempat kedua tersebut amat bermakna memandangkan ini merupakan penyertaan terakhirnya dalam temasaya Sukan Malaysia (Sukma).
“Walaupun ini bukan pingat emas tetapi pada saya sudah cukup dengan segala usaha dan tenaga yang telah saya curahkan selama ini.
“Sebenarnya untuk mendapatkan pingat perak juga adalah sukar kerana lawan dalam acara ini kebanyakannya adalah atlet kebangsaan yang mempunyai kelengkapan yang terbaik dan mencukupi,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat dekat sini sebentar tadi.
Ditanya mengenai persiapan yang dilakukan terutamanya dari segi kekuatan mental terutamanya untuk berdepan atlet-atlet profesional, Nur Sumayyah berkata dia berusaha untuk tampil dengan lebih yakin dan tenang semasa pertandingan berlangsung.
“Tadi ada juga rasa takut tapi disebabkan saya tidak dapat melihat jumlah mata yang telah dikumpul jadi saya teruskan perjuangan ini sehingga berjaya mendapatkan pingat perak,” katanya dalam nada teruja.
Sementara itu, jurulatihnya, Faizah Ab Aziz berkat skuad menembak tidak menyasarkan sebarang pingat bagi acara perseorangan kerana menyedari barisan atlet dalam Sukma kali ini terdiri daripada atlet kebangsaan.
“Kita tidak letakkan apa-apa sasaran dalam kategori ini sebaliknya sasaran satu perak adalah dalam acara Air Rifle 10M berkumpulan dan akan melihat acara lain yang mungkin kita boleh beri saingan.
“Hari ini, Nur Sumayyah berjaya mendapatkan pingat perak hari ini atas usaha gigihnya sebagai seorang atlet dan pelajar,” ujarnya.
Justeru, Faizah menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan kepada atlet terutamanya Pasukan Menembak Pulau Pinang sehingga mampu mencipta kejayaan hari ini.
“Terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), penyelaras sukan serta unit sains sukan, terutamanya ibu bapa Nur Sumayyah dan ahli pasukan mereka yang sentiasa memberikan sokongan.
“Apa yang boleh saya katakan adalah ini merupakan kualiti kerana bukan mudah untuk bersaing secara individu dalam acara ini yang dibarisi oleh atlet kebangsaan.
“Ia memerlukan psikologi yang kuat dan saya amat berbangga dengan semua atlet terutamanya Nur Sumayyah,” katanya.
Difahamkan, Nur Sumayyah juga akan menyertai beberapa lagi kategori yang akan dipertandingkan selepas ini termasuklah 50m rifle prone berkumpulan dan 50m rifle prone.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI