Sukma ke-21: Pasukan boling padang Pulau Pinang hasrat akhiri kemarau pingat 10 tahun

img 20240813 175501 189

KUCHING – Pasukan boling padang (lawn bowls) Pulau Pinang tekad bangkit pada perlawanan pusingan kedua peringkat kumpulan yang akan berlangsung pada hari esok (14 Ogos 2024) bagi merebut tempat ke pusingan separuh akhir.

Pengurus pasukan boling padang negeri Pulau Pinang, Zanzuri Hashim berkata beliau optimis skuad boling padang Pulau Pinang mampu merangkul sekurang-kurangnya satu pingat dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 yang berlangsung di Sarawak dari 13 hingga 24 Ogos 2024.

“Dalam temasya kali ini, kami menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat yang mungkin hadir melalui kategori beregu lelaki.

“Kali terakhir pasukan boling padang Pulau Pinang memperoleh pingat adalah pada temasya Sukma Perlis 2014, iaitu 10 tahun lalu dengan merangkul satu pingat perak,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui dekat Arena Lawn Bowls Sarawak di sini sebentar tadi.

img 20240813 175507 575
Zanzuri Hashim.

Ditanya mengenai prestasi skuad boling padang Pulau Pinang selepas lapan perlawanan hari ini, Zanzuri berkata pihak pengurusan akan mengatur strategi yang lebih ampuh untuk meneruskan perlawanan pada pusingan kedua peringkat kumpulan esok.

“Pihak pengurusan akan mengadakan perbincangan bersama-sama jurulatih bagi merangka strategi yang lebih berkesan dalam perlawanan pada hari esok bagi memastikan Pulau Pinang layak ke peringkat separuh akhir.

“Hanya dua pasukan dari setiap kumpulan layak ke separuh akhir, jadi kami akan memberikan fokus kepada strategi yang lebih baik berbanding hari ini.

“Selain itu, kami juga akan meningkatkan lagi motivasi dalam kalangan atlet supaya mereka melupakan keputusan hari ini dan fokus kepada perlawanan seterusnya,” katanya sambil menambah bahawa pihak pengurusan mungkin akan melakukan pertukaran atlet sekiranya perlu.

img 20240813 175545 017

img 20240813 175622 354

img 20240813 175641 877

Difahamkan, pasukan boling padang Pulau Pinang menghantar 12 atlet pada kejohanan kali ini yang terdiri daripada enam lelaki dan enam wanita.

Pada temasya Sukma kali ini, sukan boling padang mempertandingkan lapan acara merangkumi kategori perseorangan, beregu, trio dan berempat masing-masing bagi lelaki dan wanita.

Perlawanan pusingan pertama pada peringkat kumpulan hari ini yang bermula seawal pukul 8 pagi tadi menyaksikan Pulau Pinang menang dalam kategori trio lelaki selepas menewaskan Kedah dengan keputusan 15 -12.

Sementara itu, kategori perseorangan wanita pula kalah tipis selepas melawan Negeri Sembilan dan Perak dengan keputusan masing-masing 20-21 dan 19-21 manakala beregu lelaki turut kalah tipis kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (14-15).

Selain itu, beregu lelaki juga tewas menentang Terengganu (4-37); berempat wanita tewas kepada Terengganu dan Sarawak masing-masing dengan keputusan 8-26 dan 12-17 manakala trio lelaki tewas kepada Selangor (5-22).

Esok, skuad boling padang Pulau Pinang dijadualkan bertemu Perak (trio lelaki), Selangor (beregu lelaki) serta Terengganu (perseorangan dan berempat wanita) bagi sesi kelima pada pagi.

Pada sesi ketujuh (petang) pula, Pulau Pinang akan berdepan Sabah (trio lelaki), Kedah (beregu lelaki), Perak (berempat wanita dan terakhir akan bertemu tuan rumah Sarawak dalam kategori beregu wanita.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & SIEW CHIA EN