KUCHING – Sebanyak enam pingat emas berjaya dikutip oleh Kontinjen Negeri Pulau Pinang dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak yang memasuki hari lapan hari ini.
Terdahulu, pingat emas pertama hari ini hadir menerusi sukan lawan pedang selepas Surayya Rizzal mencipta sensasi dalam acara foil individu wanita.
Surayya berjaya menewaskan lawan dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan keputusan 15-14 dalam acara yang berlangsung Eastwood Valley Golf & Country Club pagi tadi.
Sejam selepas itu, lagu “Untuk Negeri Kita” berkumandang sekali lagi di Dewan Sri Balau, UiTM Kampus Mukah selepas atlet judo, Lim Xin Jie dan Qaleeda Izz’dika Mohd. Rosidi mengungguli acara Ju No Kata wanita.
Empat lagi atlet judo, Ng Yi Xuan dan Wong Yi Xuan kemudian menghadiahkan emas ke-12 kepada negeri Pulau Pinang selepas memenangi acara Nage No Kata lelaki manakala Ng Yi Heng dan Yeap Zhangwei Frederic menyumbangkan emas ke-13.
Sukan olahraga turut mencipta sensasi tersendiri di Stadium Sarawak di sini apabila Muhammad Sayyid Amin Roslan berjaya mengungguli acara 200 meter (m) lelaki dan menyumbang sebutir lagi pingat emas.
Seorang lagi atlet olahraga, Zhen Han Quaik pula berjaya memecahkan rekod peribadinya dalam acara dekalton dengan catatan 6690 mata sekali gus merangkul pingat emas ke-15.
Sementara itu, sebanyak sembilan pingat perak berjaya diraih oleh atlet negeri Pulau Pinang menerusi atlet skuasy, R. Dhirren dan Ishant Shah dalam acara beregu lelaki pagi tadi.
Di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini pula menyaksikan Vivian Xin Ling Tee dan Chris Chew Vi Min meraih pingat masing-masing dalam acara 200m kuak lentang dan 50m rama-rama.
Atlet sukan Muay Thai turut menunjukkan aksi memberangsangkan apabila merangkul tiga pingat perak menerusi Nur Farhana Alia Nazir dalam kategori 45-48 kilogram (kg), Mohamad Shahdam Abdul Aziz (45-48kg) dan Muhammad Hakimi Nordin (54-57kg).
Baki tiga lagi pingat perak adalah menerusi sukan menembak selepas Nur Sumayyah Dzulkifli, Nur Maisarah Dzulkifli dan Siti Zulaikha Haira berjaya mencatat 1,884.1 mata dalam acara 10m air rifle berpasukan wanita.
Malah, Nur Maisarah juga berjaya meraih pingat perak dalam acara 10m air rifle individu wanita.
Skuad boling Pulau Pinang pula menutup tirai kempen Sukma ke-21 dengan meraih satu lagi pingat perak menerusi Mohammad Zuhairi Zailani dalam acara Master lelaki.
Dalam pada itu, enam pingat gangsa yang diraih hari ini pula adalah menerusi Elson Chun Hong Lee (renang 30m gaya bebas), Fatin Irdina Izahar (Muay Thai), Muhammad Aidil Zakri dan Muhammad Safean Alif (petanque), Alice Gan Jia Xian dan Delwina Cheah Kah Yan (judo) atlet badminton (beregu campuran) dan sepak takraw quadrant wanita.
Setakat jam 11.30 malam ini, Pulau Pinang menduduki tangga kelapan dengan mengutip keseluruhan 15 pingat emas, 20 perak dan 23 gangsa.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR, SIEW CHIA EN, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI, MSNPP