KUCHING – Skuad tenpin boling Pulau Pinang menepati sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 apabila berjaya mengungguli acara berpasukan lelaki hari ini.
Pasukan Pulau Pinang yang dibarisi oleh Muhammad Adam Darwish Dzulhakimy, Muhammad Hafiz Darwisy Azhlan, Muhammad Haris Adlan Azman, Megat Zaqrul Haiqal Megat Zairudin, Mohammad Zuhairi Zailani dan Muhammad Aqil Faizal berjaya mengutip 5,915 jatuhan pin sekali gus merangkul pingat emas dalam acara yang berlangsung dekat Megalanes E-mart, Batu Kawa di sini.
Pingat perak pula menjadi milik pasukan Johor dengan kutipan 5,907 jatuhan pin manakala tuan rumah, Sarawak terpaksa berpuas hati dengan memperoleh pingat gangsa selepas mengutip 5,828 jatuhan pin.
Terdahulu, skuad boling Pulau Pinang turut berjaya merangkul satu pingat perak pada Isnin (18 Ogos 2024) menerusi Megat Zaqrul Haiqal, Muhammad Hariz Adlan dan Muhammad ‘Aqil dalam acara trio lelaki.
Selain itu, mereka turut meraih dua pingat gangsa masing-masing menerusi Muhammad Hafiz Darwisy dan Nur Sara Shahira dalam acara beregu campuran serta gandingan Mohammad Zuhairi Zailani dan Muhammad Hafiz Darwisy Azhlan dalam acara beregu lelaki.
Esok, skuad tenpin boling akan turun sekali lagi untuk beraksi dalam dua kategori iaitu master lelaki dan master wanita.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MSNPP