Sukma ke-21: Sepak takraw raih emas kelima Pulau Pinang, tamat kemarau 24 tahun

img 20240817 wa0026

BINTULU – Lagu “Untuk Negeri Kita” sekali lagi berkumandang di Bumi Kenyalang selepas pasukan sepak takraw lelaki berjaya meraih emas kelima dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Muhibbah dekat sini menyaksikan skuad sepak takraw Pulau Pinang mengungguli kategori berpasukan lelaki selepas menewaskan pasukan Selangor dengan keputusan 2-0 sebentar tadi.

Hal ini bermakna pasukan sepak takraw Pulau Pinang telah berjaya menamatkan kemarau pingat emas selama 24 tahun selepas kali terakhir menjuari acara itu semasa Sukma di Pulau Pinang pada tahun 2000.

Terdahulu, regu pertama Pulau Pinang yang dibarisi Ikhwan Syafiq Mohd. Fitri (tekong), Adi Syazmin Mohd. Zuriman Yadzri (apit kanan) dan Muhammad Danial Iman Basbullah (apit kiri) meraih kemenangan selesa dengan keputusan 2-0.

Regu kedua dibarisi Mohd. Imran Fazli (tekong), Muhammad Nabil Naufal Mohd. Fuad (apit kanan) dan Muhammad Shahrul Sobri (apit kiri) yang sedikit ketingalan pada awal permainan kembali bangkit untuk memenangi perlawanan dalam dua set (2-0).

img 20240817 wa0027
Mohamad Fazil Mohd. Asri (duduk, tiga dari kiri) meraikan kemenangan pasukan sepak takraw sebentar tadi.

Jurulatihnya, Mohamad Fazil Mohd. Asri memberitahu bahawa mereka tidak menjangka dapat memenangi perlawanan tersebut hanya dengan dua set memandangkan Selangor juga merupakan pencabar yang dilihat agak kuat.

“Jangkaan kami adalah perlawanan akan berlarutan ke set ketiga atau regu ketiga tetapi kesempatan untuk kami hadir apabila prestasi pihak lawan dilihat berada dalam keadaan kurang baik.

“Situasi ini akhirnya memberikan kemenangan bergaya kepada Pulau Pinang sekali gus menamatkan kemarau pingat emas selama 24 tahun,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi sebentar tadi.

Mohamad Fazil, 35, berkata kemenangan tersebut pastinya telah membangkitkan semangat untuk para atlet sepak takraw untuk melakukan yang terbaik dalam perlawanan seterusnya bagi kategori regu dan berpasangan lelaki.

“Sudah pasti kemenangan ini akan menjadi pembakar semangat untuk mereka bermain dengan lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” katanya.

Semalam, mereka telah menewaskan pasukan Pahang dan Melaka dengan keputusan masing-masing 2-0 untuk layak ke pusingan akhir.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MSNPP