KUCHING – Atlet olahraga negeri, Sriven Tan berjaya meraih pingat perak dalam acara 20,000 meter (m) lumba jalan kaki lelaki selepas mencatat masa satu jam 38 minit 25.43 saat (s) di Stadium Sarawak di sini pagi tadi.
Dia berada di belakang atlet dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Khor Jing Hong yang meraih pingat emas selepas mencatat 1.’34:38.20s manakala pingat gangsa menjadi milik C. Teban Raj dari Selangor dengan catatan 1’48:07.56s.
Bercakap kepada Buletin Mutiara, Sriven, 19, berkata dia telah berusaha melakukan yang terbaik sekali gus berjaya memperbaharui rekod peribadinya semasa di Sukma ke-20 dua tahun lalu iaitu 1’43:34.13s.
“Saya dedikasikan pingat ini kepada kedua-dua ibu bapa saya, jurulatih serta rakan sepasukan yang sentiasa memberikan sokongan serta dorongan kepada saya.
“Ayah saya khususnya, sentiasa menemani saya semasa menjalani latihan dan sorakan penuh semangat oleh ibu saya semasa di padang telah memberikan inspirasi untuk saya terus maju.
“Pada mulanya saya bimbang sekiranya saya tidak dapat memenuhi harapan mereka, namun keputusan hari ini telah memberikan kegembiraan kepada semua,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat di sini sebentar tadi.
Sriven berkata, dia akan terus menjalani latihan secara intensif untuk meningkatkan lagi stamina bagi menghadapi satu lagi acara lumba jalan kaki sejauh 10 kilometer (km) pada Khamis ini.
Semasa penampilan sulungnya dalam temasya Sukma di Selangor, Sriven telah menunjukkan aksi cemerlang dalam acara lumba jalan kaki sejauh 10km dan 20km sekali gus berjaya merangkuk satu pingat emas dan satu perak.
Difahamkan, Sriven telah dilatih sendiri oleh bapanya, Tan Chee Leong yang juga merupakan atlet lumba jalan kaki negeri Pulau Pinang.
Lebih membanggakan lagi apabila ibunya, D. Kavitha juga merupakan atlet lumba jalan kaki mewakili Pulau Pinang suatu masa dahulu.
Sementara itu, satu lagi pingat perak dalam sukan olahraga telah disumbangkan oleh Melissa Choong En Xuan dalam acara lompat tinggi wanita.
Melissa, 20, ketika ditemui memberitahu bahawa dia berharap untuk memperbaharui rekod peribadinya 1.70 meter (m) yang dicatatkan sebelum ini, namun gagal berbuat demikian kerana sedikit gugup.
“Saya hanya menjalani latihan sendiri di sini tanpa bimbingan dari jurulatih dan keadaan ini telah memberikan banyak cabaran kepada saya.
“Walau bagaimanapun, pengalaman hampir 10 tahun dalam acara lompat tinggi telah meletakkan asas yang kukuh untuk saya membuat persediaan bagi kejohanan Sukma kali ini,” kata pelajar Universiti Bristol, England itu lagi sambil menambah bahawa dia masih mengekalkan hubungan rapat dengan jurulatihnya sehingga kini.
Melissa berkata, Sukma di Sarawak merupakan penampilan terakhirnya tetapi dia akan meneruskan latihan dalam acara lompat tinggi untuk dapat melayakkan diri dalam kejohanan Sukan Asia Tenggara (Suka SEA) suatu hari nanti.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN