KUCHING – Atlet taekwondo menunjukkan aksi memberangsangkan pada perlawanan pembukaan bagi acara itu dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak yang memasuki hari keempat hari ini.
Sebanyak tiga pingat dihasilkan melalui sukan taekwondo merangkumi satu pingat perak dan dua gangsa dalam acara yang berlangsung di Stadium Perpaduan dekat sini sebentar tadi.
Pingat perak hadir menerusi acara poomsae individu wanita apabila Yow Mei Yee berjaya mengutip 7.93 mata dan mengalahkan atlet dari Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berkongsi tempat ketiga.
Mei Yee yang turut turun dalam aksi poomsae beregu campuran bersama-sama Tan Zhen Hao terpaksa berpuas hati ditempatkan ketiga dan merangkul pingat gangsa selepas mencatatkan 7.93 mata.
Dalam acara poomsae berkumpulan wanita yang dibarisi oleh Yeo Mei Xin, Loh Wei Yee dan Soo Wei Shan meraih satu lagi pingat gangsa selepas mengumpul 9.29 mata.
Sementara itu, sukan wushu menambah dua lagi pingat iaitu satu perak (wushu sanda) dan satu gangsa (wushu taolu).
Pingat perak hadir menerusi persembahan Skyler Khor Zhan Quan dalam kategori 60 kilogram (kg) lelaki, manakala pingat gangsa disumbangkan oleh Gillian Ong Ying Sze melalui kategori Nandao Wanita dengan kutipan 9.436 mata.
Sementara itu, gelanggang muaythai di Naim Bintulu Paragon turut menghadirkan kegembiraan kepada Kontinjen Negeri Pulau Pinang apabila Eddyvicter Emmabell Cassandra merangkul pingat gangsa dalam kategori Wai Kru – seni solo.
Pingat tersebut diperoleh selepas dia menumpaskan atlet dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan catatan 8.80 mata.
Setakat jam 7 malam ini, Pulau Pinang berada di kedudukan kelima selepas mengumpul empat pingat emas, lima perak dan tujuh gangsa.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR & SIEW CHIA EN