Sukma ke-21: Wushu sumbang satu lagi pingat emas dan perak

img 20240815 204632 476

KUCHING – Satu lagi pingat emas berjaya diraih oleh Kontinjen Negeri Pulau Pinang dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak yang memasuki hari ketiga hari ini.

Kilauan emas kedua Pulau Pinang hadir menerusi atlet wushu negeri, Lee Belfern selepas mengungguli kategori Nangun Wanita akhir dengan memperoleh 9.533 mata.

img 20240815 204641 870
Lee Belfern ketika menerima kalungan pingat emas bagi kategori Nangun Wanita.

Rakan senegeri, Gillian Ong Ying Sze pula menamatkan saingan di tempat keenam selepas mengutip 9.294 mata dalam acara yang berlangsung di Dewan Wushu SSC, Petra Jaya di sini.

Pingat perak pula hadir menerusi aksi memberangsangkan Coleen Cheah Weiqi dalam kategori Daoshu Wanita akhir selepas berjaya mencatatkan 9.586 mata.

img 20240815 205501 678
Coleen Cheah Weiqi.

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Belfern, 20, meluahkan rasa gembira kerana akhirnya berjaya menyumbang pingat emas kepada Pulau Pinang pada penyertaan kali ketiganya dalam temasya Sukma.

“Saya hanya mahu menampilkan aksi yang terbaik sepertimana yang dilakukan semasa menjalani latihan, dan cuba berusaha sebaik mungkin untuk mengelakkan sebarang kesilapan sepanjang persembahan tadi,” katanya.

img 20240815 161144 110

img 20240815 205300 640

img 20240815 205251 933

 

 

Dia berkata, kejayaan yang diperoleh hari ini tidak akan hadir tanpa bimbingan dan sokongan padu daripada jurulatihnya.

“Saya juga mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada kedua-dua ibu bapa yang telah memberikan sokongan tanpa henti sepanjang perjalanan saya dalam arena sukan ini.

“Mereka sanggup terbang ke bumi Sarawak semata-semata untuk memberikan sokongan kepada saya dalam temasya Sukma kali ini,” katanya dalam nada teruja.

Ditanya mengenai persediaan yang dilakukan, Belfern memberitahu bahawa dia telah menjalani latihan intensif selama dua minggu sebelum Sukma berlangsung, dan akan mempergiatkan lagi latihan sebagai persiapan untuk aksi terakhir selepas ini.

“Saya masih ada satu lagi pertandingan iaitu kategori Nandao Wanita.

“Saya akan cuba tampil dengan lebih tenang dan berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan kekuatan mental serta fizikal untuk mempersembahkan aksi terbaik dalam pertandingan selepas ini,” katanya.

Turut berlangsung hari ini adalah kategori Nangun Lelaki yang menyaksikan Wee Din Jun menamatkan saingan di kedudukan kesembilan selepas memperoleh 9.223 mata.

Dalam kategori Taijiquan Lelaki pula, Eng Ying Sing dan Joshua Low Zhou Sheng hanya menamatkan saingan di tempat keenam serta kelapan selepas masing-masing memungut 9.556 dan 9.536 mata.

img 20240815 205334 352

img 20240815 205326 743

Begitu juga dalam kategori Taijiquan Wanita yang diwakili oleh Koo Yi Jia berada di tempat keempat selepas mengutip 9.556 mata manakala seorang lagi atlet, Ng Jia Wen di tempat ke-13 (8.973 mata).

Kategori Jiansu Lelaki yang menampilkan Lim Jue Xin sekadar memperoleh 9.260 mata dan menduduki tempat kesembilan manakala Jiansu Wanita, Tah Koh Ming menamatkan saingan di kedudukan kelima (9.473 mata).

Muhammad Danish Aizat Mohd. Firdaus Chua yang tampil dalam katagori Daoshu Lelaki terpaksa menamatkan saingan di kedudukan ketuju dengan 9.516 mata, manakala Tan Pei Yu di tangga ke-14 (9.216 mata).

Setakat ini, secara keseluruhan Pulau Pinang menduduki tangga ketiga di belakang Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas mengumpul enam pingat iaitu dua emas, tiga perak dan satu gangsa.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN