KUCHING – Wushu terus menjadi penyumbang pingat emas kepada Kontinjen Negeri Pulau Pinang dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak apabila berjaya menggungguli dua lagi kategori hari ini.
Lim Jue Xin yang menampilkan aksi cemerlang dalam kategori Qiangshu Lelaki berjaya merebut pingat emas selepas mengatasi pencabar lain dengan mengumpul 9.613 mata di Dewan Wushu SSC dekat sini.
Tidak terhenti di situ, Muhammad Danish Aizat Mohd. Firdaus Chua membuktikan kejaguhannya apabila berjaya merangkul satu lagi pingat emas dalam kategori Gunshu Lelaki selepas mengutip 9.620 mata.
Pada 14 Ogos lalu, Muhamamd Danish Aizat telah menyumbangkan satu pingat emas menerusi kategori Changquan Lelaki.
Selain dua pingat emas, wushu turut menyumbang dua lagi pingat gangsa menerusi Tan Koh Ming dalam kategori Qiangshu Wanita selepas berjaya mengumpul 9.553 mata.
Seorang lagi atlet wushu, Coleen Cheah Weiqi menyumbangkan pingat gangsa ketiga menerusi Gunshu Wanita dengan kutipan 9.486 mata.
Setakat jam 2 petang ini, acara wushu taolu telah menyumbang sebanyak empat pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN