SUKMA, Para SUKMA 2024: Ketua Menteri taruh keyakinan tinggi terhadap atlet

whatsapp image 2024 04 22 at 12.01.57

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menaruh keyakinan tinggi terhadap kontinjen Negeri Pulau Pinang yang bakal menggalas cabaran pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI yang dijadualkan berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos 2024.

Malah, keyakinan serupa turut dipertaruhkan kepada semua atlet istimewa yang menyertai temasya Sukan Para Malaysia (Para SUKMA), juga di Sarawak pada 23 hingga 28 September 2024 ini.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan delegasi Sekretariat SUKMA Sarawak 2024 yang diketuai oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Negeri Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Negeri Sarawak, Datuk Rosey Yunus di Komtar pagi ini.

Menurut Kon Yeow, beliau percaya bahawa kontinjen Negeri Pulau Pinang akan bersama-sama mendukung hasrat pemupukan semangat perpaduan atas landasan kesukanan di pentas SUKMA dan Para SUKMA nanti.

“Bagi penganjuran kali ini, kontinjen Negeri Pulau Pinang bakal menghantar 1,024 individu merangkumi 722 atlet dan 302 pegawai terdiri daripada para pegawai dan urus setia Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), pengurus pasukan serta barisan kejurulatihan.

“Barisan atlet (daripada Pulau Pinang) bakal berentap dalam 36 jenis sukan meliputi 484 acara sukan manakala bagi Para SUKMA melibatkan 102 atlet istimewa dalam 10 jenis yang dipertandingkan,” ujarnya.

whatsapp image 2024 04 22 at 10.56.17
DELEGASI SUKMA XXI Sawarak 2024 mengadakan perbincangan bersama-sama perwakilan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri di Komtar, pagi ini.

Mengambil kesempatan pertemuan itu juga, Kon Yeow yang mewakili seluruh pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang merakamkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak atas penamaan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak sebagai ‘agensi angkat’ kepada kontinjen Negeri Pulau Pinang.

Saya percaya dan menaruh keyakinan tinggi, dengan laungan moto ‘Semangat Perpaduan Membara’, Kontinjen Negeri Pulau Pinang dari SUKMA dan Para SUKMA akan bersama-sama merealisasikan dokongan hasrat dalam memupuk semangat.

“Saya juga percaya bahawa kedua-dua negeri bakal menjalin ikatan kerjasama erat sepanjang berlangsungnya temasya tersebut terutama dalam mengurus dan membantu hal ehwal kebajikan serta persediaan atlet yang ditempatkan di sembilan bahagian di negeri Sarawak,” katanya.

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan turut menerima ucapan salam daripada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Sri Fatimah Abdullah dan menyampaikan salam kembali kepada kedua-duanya.

whatsapp image 2024 04 22 at 10.56.20
DANIEL Gooi Zi Sen.

Dalam pada itu, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen memaklumkan bahawa Pulau Pinang mensasarkan 40 pingat emas menerusi acara SUKMA XXI dan 12 pingat emas pada Para SUKMA.

“Kontinjen Negeri Pulau Pinang yang bakal berentap nanti akan memberi saingan dalam semua acara yang dipertandingkan bagi mencapai sasaran kali ini.

“Para atlet juga kini sedang dalam persiapan rapi bagi menghadapi temasya di Sarawak nanti.

“(Dan) saya sendiri akan ke Kuching, Sarawak pada 3 Mei ini untuk bertemu dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak,” jelasnya yang juga merupakan ‘Chef de Mission’ bagi kedua-dua kejohanan di Bumi Kenyalang pada Ogos dan September ini.

whatsapp image 2024 04 22 at 10.56.18
GERALD Rentap Jabu.

Sementara itu, Gerald memberitahu bahawa kehadiran delegasi SUKMA XXI Sarawak ke Pulau Pinang adalah untuk menjemput Kon Yeow serta pimpinan negeri Pulau Pinang berkunjung ke Sarawak pada temasya yang bakal berlangsung dalam tempoh masa 117 hari lagi.

Upacara perasmian akan diadakan 17 Ogos dan penutupan dijadualkan pada 24 Ogos 2024 bagi SUKMA XXI, manakala Para SUKMA akan diadakan sebulan selepas tamatnya SUKMA XXI.

“Pada temasya SUKMA XXI kali ini, sebanyak 37 jenis sukan bersamaan 490 acara keseluruhan yang dipertandingkan, tidak termasuk 10 jenis sukan pada Para SUKMA.

“Penganjuran acara sukan akan dikelolakan di sembilan bahagian iaitu Kuching, Miri, Bintulu, Sibu, Betong, Sri Aman, Serian, Samarahan dan Mukah.

“(Dan) kami menjangkakan kira-kira 16,000 atlet serta pegawai dari semua negeri termasuk kontinjen jemputan akan hadir ke SUKMA XXI 2024,” jelasnya sambil menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menyediakan ruang pertemuan pada pagi ini.

Selain persediaan menghadapi acara sukan berprestij, kedua-dua delegasi turut membangkitkan beberapa perkara lain antaranya inisiatif untuk rakyat di kedua-dua negeri mencakupi sektor pelancongan, pelancongan perubatan, teknologi dan pemuliharaan warisan.

image 2024
KETUA Menteri menerima bingkai gambar yang menunjukkan maskot rasmi kejohanaan berupakan burung kenyalang iaitu ‘Satria’ dan ‘Satrina’ daripada Gerald Rentap Jabu (dua dari kanan).

Selain Gerald dan Rosey, delegasi Negeri Sarawak juga disertai oleh Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Negeri Sarawak, Dolhadi Marzuki; Timbalan Setiausaha, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Negeri Sarawak, Nur Alina Abdullah serta barisan Sekretariat SUKMA Sarawak.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang pula, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Abdul Kahar Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang, Dato’ Ong Bee Leng dan Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua antara yang turut hadir pada pertemuan berkaitan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING