SUKMA Perak, atlet wushu sumbang pingat pertama Pulau Pinang

  • IPOH – Atlet wushu Pulau Pinang, Muhammad Danish Aizad Mohd Firdaus Chua hari ini menyumbang pingat pertama buat kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Pulau Pinang selepas meraih pingat perak bagi kategori gunshu.

Muhammad Danish Aizad, 14, menyatakan pada mulanya beliau sendiri tidak menyangka mampu mencapai pencapaian tersebut.

“Saya masih terkejut tetapi gembiralah dapat perak sebab saya pun tak jangka menang pingat,” ujar murid dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Rawa tersebut.

Pada aksi final yang berlangsung di dewan Kolej Matrikulasi Gopeng, Muhammad Danish mengumpul 9.45 mata dan hanya ketinggalan 0.13 mata kepada atlet Melaka, Tan Cheog Wan yang memenangi emas.

Jurulatihnya Tan Kheng Hong berkata, pihaknya ada sasar pingat kepada Muhammad Danish cuma tidak pasti warna yang akan dibawa pulang.

“Pencapaiannya saya rasa bagus memandangkan beliau boleh dikirakan sebagai junior berbanding dengan atlet yang juara.

“Pada Julai lalu dia muncul juara di kejohanan wushu dunia dekat Brazil kategori bawah 15 tahun,” jelasnya lagi.

Bagi acara wushu sanda (tempur) pula, dua atlet Pulau Pinang, Teh Chee Chong bagi kategori 56 kilogram (kg) dan Mohd Amirul Husni Zabidi (70kg) akan ke aksi separuh akhir yang dijangka berlangsung esok.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD