PULAU BETONG – Kontinjen negeri Pulau Pinang ke kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 yang bakal berlangsung pada 16 hingga 24 September ini mensasarkan pungutan 26 pingat emas, perak (20) dan gangsa (44).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan perkara berkaitan pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Pulau Pinang kepada Kontinjen SUKMA bersempena penganjuran kem fasa akhir di Kem White Resort, Balik Pulau di sini pagi tadi.
“Saya yakin ini adalah satu sasaran yang penuh realistik berdasarkan pertimbangan serta prestasi para atlet negeri, dan saya yakin kontinjen Pulau Pinang mampu merealiasikannya.
“Malah, sebagai suntikan semangat tambahan kepada barisan atlet, Kerajaan Negeri adalah komited berhubung insentif kemenangan kepada mereka yang cemerlang di kejohanan berkaitan khususnya menerusi Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang atau SKIMAS,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah dan Ekonomi & Komunikasi di sini pagi tadi.
Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; ADUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; ADUN Batu Uban, A. Kumaresan dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, (MSNPP), Harry Chai Heng Hua.
Lip Chee dalam pada itu turut dilantik sebagai Chef-De-Mission (CDM) bagi Kontinjen SUKMA Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa kepada atlet yang berjaya mencatatkan rekod kebangsaan, insentif sebanyak RM1,000 turut diperuntukkan manakala rekod SUKMA (RM500).
“Adalah diharapkan dengan pendekatan ini, ia akan membakar lagi semangat para atlet untuk mengekalkan momentum dan semangat kesukanan masing-masing sekaligus mencapai sasaran ditetapkan bersama,” jelasnya.
Sementara itu, Lip Chee berharap kontinjen negeri dapat memperbaiki kedudukan keenam yang dicapai pada SUKMA Perak 2018.
“Sasaran pingat emas kali ini adalah berkurangan ekoran beberapa acara sudah mengurangkan kategori tertentu, justeru sasaran kali ini dilihat lebih realistik dan kita harap kedudukan (keenam) pingat keseluruhan juga dapat diperbaiki berbanding (SUKMA Perak) sebelum ini,” katanya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
GAMBAR : SIEW CHIA EN
VIDEO : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI