KEHANGATAN dan debaran kontinjen negeri menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI semakin terasa apatah lagi para atlet dijadualkan berlepas ke Sarawak dalam beberapa hari ini.
Temasya yang bakal berlangsung antara 17 hingga 24 Ogos 2024 ini meletakkan harapan tinggi untuk meraih 40 pingat emas menerusi 35 jenis sukan bersamaan 488 acara keseluruhannya yang dipertandingkan, serta melibatkan kekuatan kontinjen negeri seramai 874 orang.
Susulan itu, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL, dan jurugambar, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR berkesempatan menemu bual Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) merangkap Pengarah Operasi Kontinjen Negeri Pulau Pinang, HARRY CHAI HENG HUA berkaitan persediaan ke SUKMA XXI kelak.
Menurut Heng Hua, fasa persiapan barisan atlet kini pada tahap kemuncak dan sedang dalam persediaan mental yang mantap bagi menghadapi setiap saingan yang mendatang.
“Sudah tentu para atlet kini giat menjalani latihan saban hari kerana temasya SUKMA kali ini sedikit mencabar sebab ia melibatkan penganjuran acara sukan di sembilan bahagian, Sarawak sebagai tuan rumah sudah tentu mempunyai kelebihan tersendiri yang bakal ditonjolkan.
“Penganjuran acara sukan pertama bakal berlangsung pada 11 Ogos ini, melibatkan perlawanan bola sepak, maka para atlet akan bertolak dua hari sebelum perlawanan, kemudian disusuli acara-acara sukan yang seterusnya.
“Selain itu, atlet juga bakal beraksi secara berkumpulan dan hanya melibatkan sokongan ahli kumpulan sendiri, jurulatih serta pengurus pasukan, manakala penyokong-penyokong negeri terpisah ke sembilan bahagian yang lain.
“Akan tetapi, setelah melihat semangat kejituan kontinjen negeri yang membuak-buak untuk bertanding dan berjuang mengharumkan nama negeri, saya percaya ada sinar kejayaan yang bakal dicapai kelak.
“Antara persediaan lain yang telah dilaksanakan adalah sesi psikologi terakhir, kita telah menjemput mantan jaguh boling profesional negara, Datuk Shalin Zulkifli bagi memberikan kata semangat dan perangsang kepada para atlet semasa Majlis Penyerahan Bendera baru-baru ini,” ujarnya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Tambah Heng Hua, majoriti atlet negeri yang mengambil bahagian dalam temasya SUKMA XXI terdiri daripada atlet muda berwajah baharu.
“Disebabkan syarat penyertaan SUKMA mempunyai had umur bagi atlet yang ingin mengambil bahagian, maka kebanyakan atlet yang beraksi edisi lalu tidak dapat beraksi pada temasya kali ini.
“Sehubungan itu, MSNPP telah menampilkan atlet muda yang diharap dapat membawa kebanggaan kepada negeri Pulau Pinang dengan mencapai sasaran pingat yang ditetapkan, boleh dikatakan separuh atlet berwajah baharu manakala selebihnya merupakan atlet SUKMA yang lepas.
“Barisan atlet bagi SUKMA kali ini juga merupakan tapisan yang terbaik setelah lima kali diuji berdasarkan prestasi serta yang telah mencapai kriteria yang telah ditetapkan.
“(Dan) peluang untuk menang dilihat sedikit mencabar kerana kebiasaannya sukan individu lebih banyak menyumbang pingat berbanding yang berkumpulan, pada SUKMA yang lepas sukan gimnastik, catur, judo, karate, wushu dan banyak lagi antara yang menyumbang pingat,” jelasnya sambil berharap kontinjen negeri berjaya naik ke podium.
Dalam pada itu, Heng Hua turut menekankan bahawa SUKMA kali ini juga dilihat sebagai perkembangan positif kepada para atlet dan telah membuka lembaran baharu bagi sektor sukan di negeri Pulau Pinang.
“Atlet sukan juga boleh diibaratkan sebagai tentera yang memasuki medan peperangan yang perlu berlawan habis-habisan untuk mempertahankan negara, jangan sesekali memandang rendah kebolehan dan kesungguhan mereka.
“Justeru, atlet negeri yang berjaya meraih pingat dalam saingan temasya SUKMA XXI kelak bakal menerima ganjaran insentif yang dinamakan sebagai ‘Atlet Emas’.
“Oleh itu, saya berharap agar para atlet gigih berhempas pulas bertarung dengan pihak lawan untuk menjulang nama negeri Pulau Pinang melalui kemenangan 40 pingat emas menjadi realiti apabila menjejakkan kaki ke wilayah Sarawak nanti.
“Pada kesempatan ini, saya juga ingin menyeru seluruh rakyat di negeri ini untuk memberi sokongan yang padu, dan untuk makluman juga info-info mengenai keputusan boleh didapati melalui siaran langsung Radio Televisyen Malaysia (RTM), media sosial rasmi MSNPP serta laman sesawang Buletin Mutiara,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Sukan MSNPP, MOHD. FADIL MOHAMAD turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal kebajikan kontinjen Pulau Pinang.
“Penamaan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak sebagai ‘agensi angkat’ kepada kontinjen negeri amat dihargai dan didahulukan dengan ucapan terima kasih, diharapkan para atlet akan bersama-sama merealisasikan hasrat dalam mengejar 40 pingat emas kali ini.
“Justeru, saya juga percaya bahawa kedua-dua negeri bakal menjalin kerjasama erat sepanjang berlangsungnya temasya (SUKMA XXI) terutamanya dalam mengurus dan membantu hal ehwal kebajikan serta persediaan atlet yang ditempatkan di sembilan bahagian di negeri Sarawak iaitu Kuching, Miri, Bintulu, Sibu, Betong, Sri Aman, Serian, Samarahan dan Mukah,” tambahnya lagi.