BAYAN LEPAS – Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah selamat berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bagi menghadiri Upacara Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) Ke-50 di sini baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut Raja Perlis merangkap Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, Tuan Yang Terutama Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan (Pengerusi Lembaga Gabenor USM) serta pegawai-pegawai kanan daripada Kerajaan Malaysia.
Turut mengiringi baginda adalah dua pegawai dan 26 anggota Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sungai Ara.
Bacaan doa selamat turut dibacakan Pengarah Pusat Transformasi Insan, Ustaz Datuk Ellias Zakaria sebelum baginda menaiki kenderaan menuju ke Hotel Shangri-La.
Pada sidang pertama majlis konvokesyen tersebut, baginda menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang yang disampaikan sendiri Tuanku Syed Sirajuddin pada sidang yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra USM.
Pulau Pinang merupakan destinasi pertama dalam sesi lawatan kerja tiga hari baginda ke Malaysia.